TAHUN 2023 bakal ditinggalkan penyanyi popular Indonesia, Raisa Andriana dengan melakar satu lagi sejarah manis dalam perjalanan karier seninya menerusi kemunculan single terbaru, Tak Berharap Lagi.
Dilancarkan hari ini menerusi JUNI Records, karya ciptaan bersama Raisa dan Andmesh Kamaleng itu menyaksikan kolaborasi pertama wanita berusia 33 tahun tersebut dengan grup S/eek sebagai penerbit.
Single itu akui Raisa, memberi makna tersendiri kepadanya kerana ia merupakan projek pertamanya bersama Andmesh. Meskipun tidak menampilkan Andmesh sebagai pasangan duet, mereka sebaliknya berkolaborasi dalam menyempurnakan penulisan lirik Tak Berharap Lagi.
“Saya yakin lagu ini akan menjadi sebuah lagi lagu pop klasik galau Indonesia pilihan ramai, apatah lagi jalan ceritanya juga dekat dengan pengalaman yang pernah dilalui banyak orang.
“Saya berharap lagu baharu yang digarap bersama Andmesh ini dapat membawa nostalgia, sekali gus bertahan sebagai karya malar segar,” katanya.
Sementara itu, Andmesh pula berkata, ketika lagu itu ditulis, fikirannya langsung membayangkan Raisa sebagai penyanyi yang serasi untuk membawakan karya tersebut.
“Karakter suara Raisa sangat cocok untuk lagu ini. Tanpa ragu, saya terus mengirimkan lagu ini kepada Raisa,” kata penyanyi kelahiran 15 April 1997 itu.
Tak Berharap Lagi, seperti mengajak pendengar untuk kembali ke era lagu galau Raisa. Sejak Raisa berkongsi potongan lagu itu di media sosialnya beberapa minggu lalu, ia membangkitkan keterujaan peminat untuk turut bersama dalam projek berkenaan.
Malah, petikan lagu Tak Berharap Lagi turut digunakan oleh ramai peminat untuk membuat pelbagai video di media sosial yang secara tidak langsung menghangatkan lagi bahang kemunculan single tersebut.
“Tak Berharap Lagi mewakili perasaan mereka yang pernah mengagung dan memuja cinta, tetapi berjalan waktu, perlahan ia hilang meskipun menyangka sudah bertemu dengan orang yang menurut mereka tepat.
“Seiring perjalanan waktu, tambatan hatinya itu menjadi sumber rasa sakit dan membuatkan dia tidak berani berharap lagi,” ungkap Andmesh sebagai penulis.
Lagu ini turut diwarnai dengan kemunculan pelakon dan model asal Kuala Lumpur, Meerqeen.

Berawal daripada pertemuan secara tidak sengaja di Jepun, Raisa memulakan komunikasi santai dengan Meerqeen hingga akhirnya mencetuskan idea untuk mengundang jejaka itu beraksi dalam video lirik Tak Berharap Lagi.
Penggambaran video lirik Tak Berharap Lagi yang disutradarai West Waisnawa dari MIURA Film dijalankan pada pertengahan September lalu di sekitar Kebun Raya, Bali.
Konsep video lirik itu menceritakan tentang kerisauan hati, namun tidak dipaparkan secara jelas dalam bentuk adegan.
Ia sebaliknya diterjemahkan menerusi pemilihan syot, selain mengabadikan teknik pengambilan gambar dan penggunaan gelang kunci sebagai simbol seseorang yang telah mengunci rapat pintu hatinya. Ia tidak akan dapat dibuka oleh sesiapa pun, kecuali dirinya sendiri.
Tak Berharap Lagi boleh dinikmati di platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, Langitmusik, Spotify, Tiktok Music, YouTube Music dan lain-lain bermula hari ini.
Manakala, video lirik Tak Berharap Lagi pula boleh ditonton di saluran YouTube: raisa6690.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

