Setiap bangsa di dunia ini mempunyai pelbagai adat dan kepercayaan dalam majlis perkahwinan. Kali ini, kami ceritakan adat unik dalam perkahwinan orang Jerman di mana para tetamu dan ahli keluarga akan membuat kecoh dengan memecahkan pinggan mangkuk sebagai perlambangan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin.
Bukan hanya pinggan mangkuk, tetamu juga dibolehkan memecahkan cawan, barang perhiasan seperti pasu bunga, jubin atau apa saja benda asalkan ia diperbuat daripada porselin. Porselin ialah bahan keras berwarna putih dan lut sinar yang dihasilkan daripada tanah liat halus.
Jika dilihat pada kos, perbuatan itu seakan merugikan pasangan pengantin kerana barang-barang berkenaan mungkin mahal harganya. Terasa sayang barangan itu dipecahkan dengan sengaja.
Namun bagi pasangan pengantin di Jerman, wang bukan isunya kerana ia merupakan adat yang perlu diteruskan untuk menghormati nenek moyang mereka. Itu sebab kenapa budaya yang dipanggil sebagai Polterabend ini masih diamalkan sampai sekarang.

Orang Jerman memulakan budaya unik itu seawal tahun 1517. Istilah Polterabend juga berasal daripada bahasa Jerman iaitu ‘poltern’ yang bermaksud membuat raket. Manakala ‘abend’ pula membawa erti petang.
Idea asal tradisi ini adalah untuk membuat bunyi bising dengan tujuan melindungi pasangan pengantin daripada gangguan hantu atau roh-roh jahat. Ia perbuatan serupa seperti dilakukan oleh orang Britain di mana mereka mengikat sejumlah tin kosong di belakang kereta pengantin.
Bagaimanapun, generasi baru telah mengubah adat Polterabend menjadi parti tradisional untuk meraikan bakal pengantin. Sehari sebelum majlis perkahwinan, Polterabend akan diadakan di rumah ibu bapa pengantin atau ruang terbuka di mana semua orang boleh menyertainya.
Pun begitu, bukan semua kenalan dijemput menghadiri pesta tersebut. Hanya tetamu yang tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan pada hari esok saja dialu-alukan datang ke acara Polterabend.

Oleh kerana Polterabend bukan majlis rasmi, tiada kad undangan diberikan kepada para bakal tetamu. Biasanya pelawaan cuma melalui mulut saja. Tetamu yang hadir juga hanya memakai pakaian kasual dan tidak membawa apa-apa hadiah. Namun adalah tidak dilarang sekiranya para undangan memberikan hadiah buat pengantin.
Ada kalanya, tetamu tidak hanya membawa hadiah, tetapi mereka turut membawa bersama barang porselin sendiri. Tiba di pesta informal itu, para undangan akan memecahkannya di depan pintu masuk rumah pengantin. Mereka percaya bahawa perbuatan itu bakal membawa tuah kepada pengantin. Cara itu juga sebagai tanda ucapan selamat meninggalkan zaman bujang buat pengantin baru.
Sejurus selesai parti, kedua-dua mempelai harus membersihkan serpihan taburan porselin. Bukan untuk membuli pengantin, tapi segala yang dilakukan itu ada ceritanya tersendiri. Masyarakat Jerman percaya cara itu mampu menyedarkan pasangan pengantin bahawa kehidupan berumah tangga akan menjadi lebih sukar kerana tugas dan tanggungjawab yang lebih berat bakal menanti mereka.
Tapi mesej yang lebih penting dari itu ialah pasangan suami isteri harus saling bekerjasama mengatasi permasalahan rumah tangga. Itu sebab mengapa mereka harus bekerjasama membersihkan serpihan porselin sejurus pesta meraikan hari bersejarah mereka tamat.

Dilaporkan, walaupun tetamu dibolehkan untuk membuat kecoh dengan memecahkan barangan porselin milik keluarga pengantin, itu tidak bermakna tetamu boleh melakukan apa saja. Tetamu tetap dikenakan syarat untuk tidak memecahkan mana-mana barangan kaca seperti gelas atau cermin.
Dalam tradisi Polterabend, benda kaca dianggap barang terlarang sepanjang parti berlangsung. Ini kerana, kaca dipercayai mewakili kesejahteraan dan kebahagiaan. Justeru, memecahkan benda rapuh itu adalah sangat-sangat ditegah kerana perbuatan tersebut dikhuatiri bakal mendatangkan malapetaka kepada kedua-dua mempelai.
Nasib malang yang menimpa pengantin dikatakan bukan sehari dua, tetapi ia membawa sehingga tujuh tahun lamanya. Dengan erti kata lain, ia seumpama mendoakan perkara tidak elok buat pengantin baru sepanjang mereka melayari alam rumah tangga.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

