Setiap bangsa dan kaum di dunia ini pula mempunyai cara tersendiri dalam menampilkan kecantikan mereka. Namun, bagi masyarakat etnik Mursi, khususnya golongan wanita di Ethophia, cara mereka tampil cantik agak aneh.
Mereka mengamalkan satu kaedah unik dan pelik dalam soal mempamerkan kecantikan. Kaedah tersebut adalah amalan melubangkan bibir.
Wartawan daripada majalah The Times, James Egremont Lee pernah membuat kajian mengenai budaya pelik ini. Menurut Lee, budaya ini merupakan sesuatu yang popular khususnya buat masyarakat Mursi di sekitar Afrika. Kajian secara pemerhatian itu telah dilakukan pada Mac 1996.

Suku Mursi adalah kumpulan etnik di Afrika yang masih melakukan tradisi melubangkan bibir. Amalan ini biasanya akan dilakukan oleh golongan wanita yang bergelar ibu ke atas anak perempuannya yang menjangkau usia 15 tahun. Ketika upacara ini dilakukan, bahagian bawah bibir mereka akan dilubangkan bulat berdiameter satu hingga dua sentimeter.
Kemudian, sepotong kayu akan dimasukkan ke bahagian bibir yang dilubangkan itu. Kaedah ini dilakukan untuk membantu menyembuhkan luka pada bahagian bibir yang dipotong.
Selepas tiga minggu, luka tersebut akan sembuh. Waktu inilah proses membentuk bibir akan dilakukan. Sejenis piring bulat yang diperbuat daripada kayu atau tanah liat yang berdiameter empat sentimeter akan dimasukkan ke dalam bibir. Tujuan piring ini digunakan adalah untuk membentuk bibir itu agar kelihatan bulat.

Sungguhpun amalan ini tampak ngeri, tapi inilah cara kumpulan etnik ini khususnya golongan wanita mempamerkan kecantikan mereka. Sekiranya mereka menolak untuk melakukan upacara ini, dikatakan tiada lelaki yang mahu mendekati mereka.
Sebenarnya, amalan tradisi ini bukan saja dilakukan untuk mendapatkan kecantikan tetapi menurut kepercayaan puak ini, wanita yang mempunyai bibir sebegitu akan mendapat ganjaran besar sewaktu melangsungkan perkahwinan. Pada mereka, semakin besar bibir itu dapat dibentuk maka semakin istimewa hantaran yang bakal mereka perolehi. Selalunya, hantaran itu berupa haiwan peliharaan seperti kibas, kuda, lembu dan sebagainya.
Perkara ini diakui sendiri oleh seorang gadis dari suku Mursi melalui video yang pernah dimuat naik di laman sesawang YouTube. Gadis ini berkata, keluarganya memang menyarankan agar dia melakukan amalan itu sekiranya mahu mendirikan rumah tangga. Sekiranya dia menolak, pasti hasratnya tidak akan tercapai.
Ekoran itu, wanita tersebut mengambil keputusan dengan rela hati untuk memotong bibirnya. Kini, wanita berkenaan memberitahu dia amat gembira kerana keluarganya mendapat ganjaran yang besar dan menjadi perhatian kaum lelaki Mursi yang ingin memikatnya.

Bagaimanapun, anggapan tersebut disangkal oleh kebanyakan penyelidik antropologi. Golongan ini mengemukakan alasan bahawa amalan melubangkan bibir tidak berkaitan langsung dengan jumlah ganjaran sewaktu berkahwin.
Sebaliknya, mereka mengemukakan teori bahawa amalan ini adalah untuk menunjukkan bahawa si gadis Mursi telah matang dan bersedia untuk berkahwin. Ekoran itu, ganjaran untuk berkahwin telah ditentukan sejak si gadis masih lagi kecil.
Kumpulan etnik Mursi atau dikenali Murzu adalah masyarakat nomad yang tinggal di zon Debub Omo berhampiran sempadan negara Sudan. Kawasan tempat tinggal mereka dikelilingi oleh gunung ganang dan sungai Omo.
Mengikut kajian antropologi, kumpulan etnik Mursi yang tinggal di kawasan pergunungan ini terdiri daripada sekitar 7,500 orang penduduk. Difahamkan, mereka masih berpegang kuat pada kepercayaan animisme.
______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

