SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihati orang ramai supaya menghormati perasaan keluarga pelajar sekolah, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie dengan tidak berkongsi gambar serta video insiden kemalangan yang meragut nyawa Allahyarham, Jumaat lalu.
MCMC dalam kenyataan menegaskan, perkongsian gambar atau rakaman video mangsa tidak hanya akan melukakan perasaan keluarga tetapi juga melanggar prinsip dan etika asas.
Menurut MCMC, setiap individu harus membuat pertimbangan sewajarnya untuk tidak menyebarkan gambar atau kandungan berkaitan tragedi berkenaan.
“MCMC menghulurkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi membabitkan seorang pelajar sekolah di Meru, Ipoh.
“MCMC ingin menekankan dan menasihati orang ramai tentang kepentingan untuk menghormati mangsa dan keluarga serta pada masa sama menunjukkan empati yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Keluarga rayu pengguna media sosial padam video Muhammad Zaharif
Mengulas lanjut, MCMC turut menasihatkan orang ramai supaya menurunkan hantaran atau memadam kandungan berkenaan sekiranya telah memuatnaik atau berkongsi gambar atau video daripada kejadian berkenaan.
“Selain itu, semua pihak turut dinasihati untuk tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Sebarang perkongsian yang melibatkan gambar atau video tragedi berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Terdahulu, keluarga Muhammad Zaharif Affendi merayu kepada pengguna media sosial supaya memadamkan video serta foto berhubung insiden kemalangan yang meragut nyawa Allahyarham berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh, Jumaat lalu.
Abang mangsa Zarul Fitri Muhd Zamrie, 29, berkata penularan video itu secara berterusan akan mengganggu serta meruntun emosi keluarganya.
Seorang pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan membunuh Muhammad Zaharif dalam insiden kemalangan yang berlaku.
Tertuduh yang menjawat jawatan Deputi Superintendan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

