POLIS menahan empat lelaki termasuk tiga yang didapati positif dadah kerana disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata dan melarikan sebuah motosikal di sebuah kebun durian berhampiran Dewan Citra Kasih, Anjung Gapam, Bemban, Jasin, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, semua suspek berusia antara 27 hingga 35 tahun itu ditahan di empat lokasi berasingan hasil tindakan pantas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Beliau berkata, kejadian samun itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.30 pagi apabila tiga lelaki menaiki sebuah Perodua Myvi bersenjatakan parang memasuki kebun durian sebelum mengambil buah durian dan melarikan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR milik mangsa.
“Mangsa yang juga penjaga kebun durian berusia 18 tahun membuat laporan polis pada jam 7.40 malam hari sama.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan serta menahan empat suspek bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Katanya, ujian saringan awal air kencing turut mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Dalam operasi itu, polis turut merampas tiga telefon bimbit, sebuah Perodua Myvi berwarna oren bernombor pendaftaran WB2452F, sebuah motosikal Yamaha Y15ZR serta sebilah pisau lipat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Hafiz Othman di talian 017-317 8434 bagi membantu siasatan,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

