Jika negara kita ada masakan singgang ikan dan daging, di Filipina ia dikenali sebagai sinigang. Sinigang atau singgang Filipina agak berbeza dengan negara kita, kerana ramuannya lebih ringkas tetapi menggunakan banyak sayuran.
Penggunaan ikannya juga berbeza, kerana di Filipina mereka lebih gemar menggunakan ikan berisi putih dan lembut seperti siakap dan ikan senangin. Dalam bahasa Tagalog, sinigang bermaksud rebus.
Sinigang agak sama seperti asam rebus kerana ia menggunakan banyak air asam jawa dalam kuahnya. Masakan berkhasiat dan tidak berkolesterol tinggi ini sesuai bagi mereka yang berdiet dan mementingkan kesihatan badan. Masakan ini dikatakan berasal dari Pulau Visayas dan Mindanao.
Selain menggunakan air asam jawa, ada juga daerah-daerah yang menggantikannya dengan buah belimbing buluh, mangga muda dan air perahan limau kasturi. Selain ikan, mereka juga menggunakan daging, udang dan sotong untuk sinigang.
Sayuran yang selalu digunakan dalam kuah sinigang seperti bendi, keladi, kangkung, terung, cili hijau dan kacang panjang. Masakan ini juga tidak ubah seperti sayur asam yang popular di Indonesia. Bezanya sayur asam tidak menggunakan ikan tetapi cuma sayuran.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

