MENDAPAT perhatian netizen video pengkongsian pelakon Puteri Sarah Liyana baru-baru ini yang didakwa meletakkan kepalanya di bahu rakan perniagaannya yang juga seorang aktor dari Indonesia, Andi Arsyil.
Katanya menerusi laporan Harian Metro, dia masih berfikir secara logik dan tahu batas pergaulannya terutamanya bersama mereka yang bukan mahram.
“Janganlah asyik nak cari salah saja. Boleh fikir secara logik takkanlah saya nak letakkan kepala di bahu lelaki yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ketika siaran langsung.
“Saya hanya berpaling ke arah Andi. Saya tidak letakkan kepala dibahunya.
“Malah ada juga yang sengaja meninggalkan komen jahat ketika siaran langsung saya bersama Andi baru-baru ini. Tak bolehkah mereka hidup dengan tenang?,” katanya.
Sementara itu, aktres jelita itu juga meluahkan rasa syukur dikelilingi dengan individu yang baik serta rakan seperti Andi yang selalu menjadi pendengar dan menasihatinya.
“Alhamdulillah saya dikelilingi dengan insan yang baik dan dia salah seorang individu itu.
“Andi selalu menjadi pendengar terbaik setiap kali saya tertekan atau murung dengan fitnah atau komen jahat orang luar.
“Apabila saya bercerita dia selalu nasihatkan saya supaya jangan ambil peduli dan tidak menyimpan dengan mereka. Malah dia selalu minta saya memaafkan pihak-pihak yang pernah menyakiti saya supaya hati saya lebih tenang dan positif,” katanya.
Terdahulu, Puteri Sarah tidak dapat menahan sebaknya ketika sedang bersiaran langsung di TikTok apabila ada netizen yang meninggalkan komen negatif kepadannya di ruangan komen.
Andi bagaimanapun kemudian dilihat memujuk serta menasihati aktres itu agar memaafkan individu berkenaan.

