KISAH wartawan hiburan, Fiza Kamarudin yang dilaporkan kritikal di Hospital Charing Cross, London, turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi memaklumkan pihak Kementerian Komunikasi sudah meminta Bernama menyalurkan bantuan kewangan segera menerusi Tabung Kasih HAWANA kepada keluarga Fiza atau nama penuhnya Siti Nor Hafiza Kamarudin,40.
“Saya mengikuti rapat perkembangan saudari Fiza yang kini kritikal di sebuah hospital di London.
”Saya sudah minta pihak Bernama untuk menyalurkan bantuan kewangan segera kepada beliau serta suami dan anak-anak menerusi Tabung Kasih HAWANA.
“Di pihak Kementerian Komunikasi, kami turut mendoakan beliau sembuh dan dipermudahkan segala urusan. Amin,” tulisnya.
HAWANA ialah tabung yang diwujudkan pada Mei lalu oleh pihak kementerian bagi membantu bekas wartawan dan pengamal media yang diuji dengan masalah kesihatan selain kesempitan hidup.
Terdahulu, Fiza dilaporkan kritikal selepas tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku beberapa jam sebelum Fiza bersama keluarga berlepas pulang ke tanah air.
Beliau yang juga wartawan di portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU sebelum ini berlepas ke London bersama suami dan dua anaknya pada pertengahan Disember lalu dan sepatutnya pulang ke Malaysia, semalam.
Sementara itu, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) turut melancarkan kutipan tabung kecemasan bagi membantu memudahkan urusan rawatan Fiza dan keluarga di sana.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 5620 2169 1966 atas nama Mohammad Sudirman (Penolong Setiausaha WHAM).

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

