“TERLAJAK kata buruk padahnya”.
Demikian tegas Datuk Fahmi Fadzil kepada Datuk Onn Hafiz susulan kenyataan Menteri Besar Johor itu menolak kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) jika membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Kenyataan ringkas itu diluahkan Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR itu menjawab apa yang dikatakan Onn Hafiz bahawa DAP tidak pernah dan tidak akan ada dalam kerajaan Johor pimpinan BN.
Menjawab perkara sama, Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dalam politik, semua pihak perlu mengizinkan apa jua kemungkinan dan apa jua yang akan berlaku.
“Don’t burn bridges. Jangan terlalu jumud dan kita perlu perluaskan rangkaian persahabatan, mengurangkan circle musuh,” katanya.
Kedua-dua pemimpin terbabit ditemui selepas mempengerusikan Sesi Persidangan Meja Bulat (Round Table Discussion) Pelaporan Media Selamat Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri di Putrajaya hari ini.
Dr Dzulkefly menambah, sayang dan juga benci perlulah berpada-pada kerana tidak siapa yang akan tahu apa takdir yang mendatang.
“Jadi jangan terlalu jumud. Ke depan nanti kita tak tahu apa ketentuan Allah,” tegasnya.
Terdahulu Onn Hafiz memberitahu, tekadnya dalam PRN itu boleh menjadi kenyataan sekiranya Bangsa Johor terus memberi sokongan dan mandat kepada BN Johor.
“Ini bukan soal sombong. Ini juga bukan soal perkauman. Ini soal prinsip, mandat dan tanggungjawab kepada Bangsa Johor.
“Sebagai Pengerusi BN Johor, yang menjaga kebajikan dan berkhidmat untuk setiap kaum di Johor, saya wajib menghormati hasrat rakyat akar umbi di setiap peringkat yang mahu kita bergerak sendiri dalam PRN Johor 2026,” katanya.

