KEMENTERIAN Komunikasi sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung isu perbelanjaan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini sekiranya diperlukan, kata Menterinya Fahmi Fadzil.
“Bagi badan penyiasatan sekiranya ada keperluan, itu hak mereka melakukan siasatan termasuk dalam kementerian ini,” kata beliau yang juga merupakan jurucakap kerajaan dalam sidang media hari ini.
Bagaimanapun katanya setakat ini tiada pemakluman daripada SPRM yang menghendaki Kementerian Komunikasi membantu siasatan kes berkenaan.
Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim pagi ini berkata suruhanjaya itu sedang menyiasat proses dan tatacara perbelanjaan kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022 yang menggunakan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.
Baca juga: Kerajaan MADANI berjaya buktikan mampu bersatu, fokus kepada rakyat – Fahmi
Siasatan itu dibuat berdasarkan maklumat awal yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu P.Prabakaran pada November lepas di Dewan Rakyat.
Prabakaran ketika itu meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini.
Susulan itu, Fahmi dalam catatan di aplikasi X berkata rakyat berhak tahu bagaimana RM700 juta bagi iklan dan publisiti dibelanjakan oleh dua kerajaan terdahulu.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

