Kisah ulat buku, ulat bulu dan pelbagai ulat

Dari Penulis

ULAT bermacam ulat. Ada ulat gonggok, ulat sagu, ulat dinding, ulat bulu, ulat beluncas, ulat air, ulat sutera, ulat sampah dan lain-lain. Secara umumnya ulat tidak berbahaya kepada manusia, kecuali satu dua jenis. Cuma ada yang geli melihat, apatah lagi memegang ulat.

Ulat sering dikaitkan sebagai perbandingan dengan manusia kerana ulat biasanya dalam kelompok atau koloni. Kerana itu kelompok yang tekun belajar dikenali sebagai ‘ulat buku’. Ia dianggap ciri baik, menggambarkan mereka yang rajin dan sentiasa bergelumang dengan buku. Selalunya mereka ini cemerlang dalam pelajaran.

Begitu juga ada gelaran ‘ulat kerja’ kepada yang rajin bekerja dan komited melaksanakan tanggung jawab diberi. Serah sahaja tugas kepada mereka, semua mampu dibereskan dengan landar dan jaya.

Namun wujud perbandingan ulat yang mempamerkan ciri tidak baik. Antaranya ulat bulu, ulat projek, ulat tiket dan ulat parkir. Mereka ini kelompok yang sentiasa mencari peluang memperoleh keuntungan dengan cara memperdaya atau mengambil kesempatan daripada kepayahan orang lain.

Ulat bulu walau pun cantik fizaikalnya, tetapi berbahaya. Terdapat duri halus berbisa pada badannya yang keluar apabila badan disentuh. Mangsa yang menyentuh akan mengalami kesakitan.

Justeru ulat bulu dikaitkan dengan seseorang yang nampak segak tetapi miang atau gatal. Ulat bulu akan mencari mangsa di kalangan wanita. Yang tidak berwaspada mudah terpedaya dan akhirnya menjadi mangsa.

‘Ulat projek’ pula berperanan seperti orang tengah dalam mendapatkan projek tertentu. Sebagai balasan, dia meminta dan menerima sejumah komisyen seperti dipersetujui. Lebih kurang seperti rasuah juga.

Ulat tersebut mendapat habuan tinggi. Lagi besar projek lagi banyak imbuhan diterima. Aktiviti ulat seperti ini akan terus berlaku selagi ada pihak sedia memberi dan menerima imbuhan. Namun pihak berkuasa tidak berdiam diri membanteras kegiatan ini.

‘Ulat tiket’ nampaknya masih wujud seperti era 60-an, 70-an dan awal 80-an. Baru-baru ini tersiar laporan mengenai ulat tiket yang mencari mangsa di sebuah terminal bas utama di ibu kota. Kebanyakan mereka didapati warga asing yang mengambil kesempatan menjual ‘tiket gelap’ dengan mengaut keuntungan sekali ganda.

Inilah senario dahulu. Ulat tiket berkeliaran di terminal bas ekspres seperti Puduraya mencari mangsa, terutama ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri atau Aidil Adha. Perkhidmatan bas menjadi rebutan pada waktu itu untuk balik ke kampung halaman menyambut hari lebaran bersama keluarga.

Walau pun ada perkhidmatan kereta api, bas tetap piihan utama. Dahulu tiada komuter atau Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) seperti sekarang. Kereta api bersesak, terutama bagi kelas tiga. Kerap kali jumlah penumpang melebihi tempat duduk. Bagaimana ini berlaku? Tiada kawalan jualan tiket? Tidak dapat penulis pastikan.

Akibat lebihan penumpang, ada yang terpaksa duduk di atas lantai atau berdiri sepanjang perjalanan. Bayangkan jika perjalanan mengambil masa beberapa jam. Ada yang menggantung buaian untuk anak tidur. Nampak bercelaru sungguh dalam gerabak kereta api.

Kerana itu, di stesen bas, hari perayaan adalah masa ulat tiket ‘memeras’ mangsa yang hendak balik kampung. Tiket ditawarkan pada harga berganda. Mahu tidak mahu, yang hendak balik terpaksa membeli. Jika tidak hampalah harapan balik berhari raya di kampung.

Rupanya fenomena ini masih wujud sedangkan sistem pembelian tiket bas lebih terkawal, mudah dan sistematik. Ia boleh dilakukan secara dalam talian. Mungkinkah sistem memudahkan pembelian tiket dimanipulasi oleh orang perseorangan atau sindeket yang mengejar keuntungan segera?

Pawagam juga tidak terlepas daripada ulat tiket. Tetapi gejala menjual tiket gelap ini tidak lagi berlaku seperti beberapa dekad lalu. Pawagam besar pun sudah diganti dengan pawagam lebih kecil, iaitu cineplex. Tiket boleh dibeli di lokasi, atau ditempah secara online. Jarang sangat penulis dengar ada tiket wayang gelap masa kini.

Tetapi pada tahun 60-an, 70-an dan awal 80-an ketika pawagam menjadi tumpuan utama sebagai salah satu tempat hiburan, ia adalah pemandangan biasa. Senario ini ketara terutama ketika musim hari raya.

Penulis mengalami sendiri suasana ini. Bandar paling hampir dengan kampung penulis di Bagan Datuk, Perak, ialah Teluk Anson (Teluk Intan). Di sini ada pawagam utama iaitu Rex, Capitol dan Cathay. Pada musim perayaan pawagam-pawagam ini menayangkan filem Melayu, Indonesia atau Hindustan.

Penduduk Bagan Datuk, Kampar dan Bidor bertumpu ke Telok Anson meraikan hari raya sambil menonton wayang. Waktu paling mencabar ialah ketika membeli tiket. Tiada disiplin langsung. Siapa kuat dia ke depan menghulurkan tangan ke dalam lubang membeli tiket yang dikelilingi jaring besi. Ada kala sampai berkelahi dan cedera lengan.

Sekejap sahaja tiket semua kelas untuk setiap waktu pertunjukan habis. Rupanya tiket sudah dibeli oleh ulat tiket dalam kuantiti yang banyak. Apabila tiket habis, mereka muncul menawarkan tiket gelap. Jika hendak beli sedialah bayar mahal. Tetapi biasanya ramai membeli asal dapat menonton.

Pengalaman penulis di Kuala Lumpur pula, tiket untuk tayangan tengah malam (midnight) Sabtu pada akhir 70-an dan awal 80-an juga dimanipulasi ulat tiket. Di pawagam Federal, tayangan tengah malam selalunya filem Hindustan. Ramai yang berharap membeli pada hari tayangan kecewa kerana tiket cepat habis.

Maka datanglah ulat tiket menghampiri mangsa menawarkan tiket harga berganda. Kalau tidak mahu, boleh cuba lagi pada pagi Ahad. Filem sama ditayangkan untuk tayangan pagi atau morning show. Itu pun belum tentu dapat tiket sebab ulat tiket sentiasa berkeliaran.

‘Ulat parkir’ pula kini banyak di ibu negara, mengharap pemandu memberi tip. Risiko tidak memberi ialah kereta dirosakkan, cat digores dan macam-macams. Mereka jadikan kawasan parkir seperti hak milik sendiri. Pihak berkuasa seperti polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu bertindak tegas mengatasi gejala ini.

Begitulah kisah ulat. Biarlah hidup kita diumpamakan ulat berciri kebaikan. Jauhi tabiat ulat yang merosakkan. Ulat seperti ini wajar dibanteras agar tidak menyusahkan orang lain.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli: ‘Jika terbukti salah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM’

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap enam pelajar Tingkatan Lima...

More Articles Like This