Kisah ashabul kahfi menjadi tular baru-baru ini sehingga menimbul polemik apakah agama sebenar mereka. Ada dakwaan mengatakan mereka adalah sekumpulan lelaki beriman yang bersembunyi di dalam gua dan dikaitkan dengan agama nabi Isa atau terkini disebut agama Kristian.
Namun dakwaan tersebut disangkal pula oleh salah seorang ulama sehingga menimbulkan perdebatan sama ada mereka beragama Kristian atau bukan.
Perdebatan ini kemudian memuncak sehingga wujud pula tuduhan dalam kalangan pengikut masing-masing yang tidak manis untuk didengar. Di satu pihak menuduh dan menggelar orang yang bersetuju ashabul kahfi beragama Kristian sebagai sesat, berdosa besar dan berfahaman liberal. Manakala di pihak sebaliknya pula menuduh ulama dan pengikutnya sebagai pihak Khawarij.
Dalam permasalahan ini Dr. Zulkifli al-Bakri mantan mufti Wilayah Persekutuan memberikan pandangannya dalam sebuah video yang dimuat naik di akaun facebook beliau. Menurutnya, pemuda ashabul kahfi tidak boleh disandarkan kepada agama Kristian mahupun agama Islam. Dalam kenyataan penuhnya beliau berkata,
“Kami melihat sebenarnya tidak ada pertembungan antara kedua-dua pendapat ini sama ada yang berpendapat mereka berada atas agama Nabi Isa atau dipanggil juga Nasrani (bukan Kristian) atau agama sebelum Nabi Isa mahupun agama Islam.
Apa yang pasti mereka tidak boleh dipanggil Masihi kerana istilah tersebut muncul lebih lewat dan berkait rapat dengan keimanan kepada konsep Mashiah. Hal ini kerana kesemuanya merujuk kepada agama yang berasaskan atau berintikan intipati yang sama iaitu beriman dan mentauhidkan Allah serta menentang kesyirikan kepadanya.”
Dalam masa yang sama mantan Menteri Agama ini juga turut menyatakan berlaku penyelewengan agama sehingga menisbahkan Kristian kepada Nasrani sedangkan agama Kristian berkonsepkan trinity iaitu 3 tuhan berbanding Nasrani. Dan Nabi Isa a.s. yang sebenar bukanlah beragama Kristian.
“Beginilah hakikat penciptaan manusia yang terawal dari kalangan anak-anak Adam sebelum berlakunya penyelewengan mereka ini berada di atas akidah tauhid dan Islam.
“Oleh yang demikian meskipun sebahagian kitab-kitab tafsir menyandarkan ashabul kahfi kepada Nasrani, itu pada hakikatnya adalah berdasarkan kepada al-u’rf al-zamani. Dalam erti kata lain kalimah Nasrani pada zaman itu masyhur sebagai pengikut sebenar nabi Allah Isa a.s.
Walhal, hakikat kepercayaan Nabi Isa yang sebenar bukanlah atas kefahaman Kristian pada zaman moden ini sebaliknya Baginda beragama Islam dan ini bertepatan dengan kaedah “perkataan asal yang hakikat ditinggalkan kerana wujud u’ruf ataupun adat dalam konteks ini iktiqad kepercayaan terhadap agama Islam pada u’ruf dan adat pada zaman tersebut dikenali sebagai Nasrani.”
Jelasnya, hanya pandangan masyarakat pada zaman ini yang memahami dan mengaitkan Kristian itu adalah dari Nabi Isa.
“Tetapi u’ruf dan adat kini memahami Kristian ini dengan hakikat yang berbeza iaitu kepercayaan trinity. Kaedah ini juga disebutkan dengan lafaz yang berbeza iaitu uruf kefahaman semasa, kebiasaan yang terkandung dalam sesuatu lafaz ia adalah seiringan untuk masa lepas bukan seiringan dengan masa terkemudian. Berdasarkan kepada ini bahawa dia adalah memang yang beriman kepada Allah.”
Justeru itu dapat kita fahami bahawa ashabul kahfi hanyalah sekumpulan lelaki yang beriman kepada Allah yang bersembunyi di dalam gua kerana melarikan diri dari pemerintah yang zalim hingga Allah tidurkan mereka selama lebih 300 tahun tanpa diketahui jelas apa pegangan agama mereka. Tetapi jika menurut u’ruf atau adat pada zaman ini, mereka semua beragama Islam kerana beriman dan mentauhidkan Allah.
Kisah ini Allah sebutkan dalam al-Quran bukan menuntut untuk kita berkelahi tentang apa agama sebenar yang mereka anuti, cukup hanya mengetahui yang mereka adalah pemuda yang beriman kepada Allah.
Apa yang Allah ingin sampaikan dalam kisah ini adalah hikmah dan ibrah dari kekuasaan Allah bagaimana sesuatu yang mustahil pada fitrah akal dan manusia boleh berlaku dengan izin Allah. Itu semua bertujuan menuntut kepada menguatkan keimanan hanya kepada Allah dan menjadi insan yang bertakwa. Wallahu a’lam
______________________________________________________

