Rejab adalah salah satu dari bulan-bulan haram dan dilarang melakukan pembunuhan. Al-Qodhi Abu Ya’la rahimahullah berkata,
“Dinamakan bulan haram kerana dua makna iaitu, pada bulan ini diharamkan berbagai pembunuhan. Orang-orang jahiliyah pun meyakini demikian. Pada bulan ini larangan melakukan perbuatan haram lebih ditekankan daripada bulan lainnya kerana mulianya bulan itu. Demikian pula saat itu sangatlah baik untuk melakukan amalan ketaatan”
Adapun apabila tiba bulan Rejab banyak amalan-amalan dikongsikan tentang kelebihan bulan ini yang disertakan sekali dengan ganjaran yang besar seperti puasa Rejab, solat tahajud dan sebagainya. Dan amalan ini disandarkan pula kepada pandangan ulama.
Walau bagaimanapun melalui rujukan dari laman sesawang Irsyad al-Hadith, muftiwp.gov.my (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan) menyatakan tentang kelebihan dan amalan dalam bulan Rejab ialah:
Pertama: Al-Hafiz ibn Hajar berkata,
“Tidak ada disebut di dalam hadis yang sahih (yang boleh dibuat hujah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara tertentu dan solat yang khusus” (Tabyin al-a’jab: 9)
Kedua: Imam Ibn al-Qayyim mengatakan,
“Setiap hadis yang menyebutkan berkaitan puasa di bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu di dalam bulan tersebut adalah satu pendustaan yang direka” (al-Manar al-Munif: 96)
Ketiga: Imam al-Syaukani pula berkata,
“Tidak ada disebut berkaitan amalan khusus pada bulan Rejab di dalam sunnah yang sahih, juga yang hassan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat dhaif” (al-Sail al-Jarrar: 297)
Keempat: Imam Ibn Rejab berkata,
“Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi s.a.w. dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat Baginda s.a.w.” (Faidh al-Qadhir: 4, 210)
Hasil dari pandangan para ulama dalam masalah ini maka kami cenderung mengatakan bahawa bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadis-hadis yang sahih seperti amal ibadah tertentu.
Walaupun begitu ia tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, bersedekah dan lain-lain amalan lagi dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) atau disandarkan bahawa amalan-amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan khusus atau tertentu di bulan Rejab.
Dalam erti kata yang mudah, buatlah amalan-amalan ini kerana Allah semata-mata, bukan kerana bulan Rejab atau bukan untuk meraih kelebihan yang dikatakan ada padanya. Wallahu a’lam
_____________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

