PENYANYI Indonesia, Mahalini menyuarakan impiannya untuk bekerjasama dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Ujar Mahalini atau nama penuhnya Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja,23, dia berbesar hati sekiranya hasrat hatinya disambut baik oleh penyanyi kesayangan ramai itu.
“Kalau ditanya siapa yang ingin sekali saya bekerjasama di Malaysia, sudah tentulah Siti Nurhaliza. Namanya cukup bikin fenomena di seluruh Indonesia.
“Lagu-lagunya sering di putarkan di mana-mana sahaja. Pada awal kemunculan saya di kaca televisyen dahulu, saya juga pernah mendendangkan lagu Siti Nurhaliza.
“Saya juga mahu menulis lagu untuknya walaupun saya tahu saya akan sedikit ‘pressure’ tapi apa-apa pun adakah dia mahu lagu daripada ciptaan saya?,” katanya kepada URTV.
Mahalini berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui pada sidang media Konsert Mahalini Lovechestra di ibu negara, baru-baru ini.

Sementara itu, menerusi Instagram Story, Siti dengan tangan terbuka menyambut baik hasrat Mahalini yang ingin mencipta lagu buatnya.
“@mahaliniraharja jangan lupa ya cipta lagu buat saya juga. Sukses selalu ya,” kata penyanyi Aku Bidadari Syurgamu.
Dalam perkembangan lain, Mahalini bakal menghiburkan peminatnya dalam sebuah konsert penuh cinta dengan alunan gemersik suaranya menerusi 17 buah lagu.
Konsert berdurasi lebih dua jam itu akan membawa penminat yang hadir terbuai dengan karya penuh cinta dan kasih sayang.
“Januari 2023 saya menghiburkan peminat di Malaysia dan tahun ini saya kembali sekali lagi kerana sambutan yang sangat mengalakkan daripada penyokong saya di negara ini.
“Saya akan menyajikan susunan muzik yang lebih segar berbanding konsert sebelum ini.
“Saya juga menjemput tunang saya, Rizky Febian untuk memeriahkan suasana di pentas konsert nanti. Kami akan berduet kerana kami ada lagu bersama.
“Pemilihan Rizky itu dibuat selepas mengambil kira permintaan peminat yang mahu melihat kami bersama di atas pentas membuat persembahan,” jelasnya.
Konsert Mahalini akan diiringi kumpulan pemuzik orkestra dari Malaysia.
Konsert anjuran Kharisma Music International itu akan berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 3 Februari depan.
Tiket menyaksikan konsert tersebut boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com.my/mahalini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

