PELAKON Dynas Mokhtar mendedahkan dia telah kehilangan hampir ke semua duit yang disimpan dalam akaun peribadinya.
Menerusi hantaran di Instagram, Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar berkata kehilangan duitnya itu mula disedari apabila dia mahu membayar gaji pengurusnya.
Kongsi Dynas lagi, semakan penyata akaun banknya mempunyai beberapa transaksi wang menggunakan mata wang asing.
“Saya hampir kehilangan semua duit saya. Beberapa hari lepas, selepas pulang dari penggambaran, saya balik rumah nak bayar gaji pengurus saya dan masa itu saya sedar hampir semua duit saya hilang.
“Saya tiada kad kredit hanya ada kad debit sahaja sebab tak mahu berhutang.
“Saya semak penyata akaun dan ada transaksi daripada nilai mata wang asing dan pelik. Saya tak boleh dedah banyak sangat sebab dalam penyiasatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, aktres berusia 40 itu meminta orang ramai mendoakan agar dia mendapat duitnya semula selain menasihati masyarakat lebih berhati-hati dalam menggunakan kad debit.
“Saya dah buat laporan polis dan ramai orang tolong saya. Doakan saya dapat duit saya balik.
“Jangan letak duit banyak sangat dalam bank yang ada kad, simpan kat tempat yang lebih selamat dan nombor kad debit pun kena berhati-hati,” katanya.

