Stesen TV AlHijrah membuka tirai tahun 2024 dengan nafas baharu menerusi pengisian program bertemakan dakwah dan Islamik sepanjang tahun. Menjadikan setiap program sebagai medium saluran ilmu kepada penonton, tahun baharu ini bakal diwarnai dengan pelbagai siaran yang membaja keimanan kepada Allah SWT.
Menjadikan Akademi Qurra’ menjadi pembuka tirai bagi mewarnai tahun 2024, ulas Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, TV AlHijrah melabuhkan tirai tahun 2023 dengan pelbagai kejayaan dan rekod terbaik yang berjaya dicapai.

“Program yang paling ditunggu-tunggu penonton tentunya Akademi Qurra’ di mana musim pertama merupakan percubaan dan memberikan hasil yang sangat membanggakan. Malaysia sentiasa menjadi juara program tilawah Al-Quran dan kami ambil konsep program realiti dan letakkan format tilawah dan terhasillah Akademi Qurra’.
“Malah ia mendekatkan penonton dengan Al-Quran dan insya-Allah ia akan memberikan kejayaan yang lebih besar. Program ini kembali di musim baru setelah kejayaan mendapat 4.4 juta tontonan screenview secara keseluruhan di musim pertama siarannya.
“Ujibakat hibrid yang berlangsung hampir sebulan Disember lalu, menyaksikan 12 orang qari qariah berbakat, lingkungan usia 18 hingga 35 tahun dipilih sebagai role model yang berpotensi mentarbiah serta melahirkan masyarakat penonton yang cintakan al-Quran dan seni persembahannya.
“Dua mudarrisah baru diperkenalkan iaitu Mudarrisah Suhailah Zulkifly serta Mudarrisah Nadia Hashim. Manakala, Mudarris Amar Mukhlis masih dikekalkan,” ujarnya.
Tambah Namanzee lagi, Al Hijrah turut meraikan kejayaan di mana mereka kekal menjadi saluran Islamik nombor satu Malaysia. Malah jelasnya, mereka mengambil pendekatan dengan memilih selain waktu perdana seperti waktu Subuh, Maghrib dan tengah malam sebagai kunci kejayaan.
“2023 menyaksikan TV AlHijrah kekal menjadi saluran Islamik nombor satu di Malaysia dengan peningkatan sebanyak 45% berbanding pada tahun sebelumnya. Kami mengambil pendekatan berbeza dan tidak mahu bersaing dengan stesen lain dan atas sebab itu kami memilih waktu penting bagi umat Islam seperti waktu Subuh, Maghrib dan tengah malam bagi menyuburkan rasa cinta kepada Allah SWT.
“TV AlHijrah berada di kedudukan top 5 daripada semua saluran semasa kempen #PalestinKembali diadakan lantas menjadikan prestasi TV AlHijrah pada masa ini adalah paling tinggi sejak penubuhan TV AlHijrah 13 tahun yang lalu. Selain itu, stesen ini melalui data AC Nielsen menjadi pilihan utama penonton sepanjang Ramadan, Syawal, Haji, Awal Muharam dan Maulidur Rasul tahun lalu,” katanya lagi.
Membawa konsep dakwah dan ilmu dalam menyampaikan perkongsian program, kata Namanzee, AlHijrah masih lagi mengekalkan konsep hiburan berilmu dengan meneroka format baharu rancangan Islamik tanpa menepikan pemerhatian khusus kepada tiga kunci utama penyiaran iaitu patuh syariah, kreatif dan popular.
TV AlHijrah turut membariskan rancangan terbaik lain tahun ini. Antaranya ialah Riwayat Akhir Zaman, Quran@114 dan Carta 114. Kesemua program ini membaja ilmu, iman serta ketakwaan kepada Sang Pencipta.
Namanzee turut berkongsi, selain boleh dinikmati di platform televisyen dan aplikasi AlHIjrah Plus, rancangan terbaik stesen ini turut boleh dinikmati pengguna Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).
Sehingga kini, aplikasi AlHijrah Plus yang memiliki lebih 8 ribu kandungan tersedia dan secara langsung juga telah dimuat turun oleh 100 ribu pemuat turun dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

