POLIS sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang ketika ibunya mahu menjemput anaknya pulang dari sebuah sekolah di Paloh, Kluang, semalam.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ibu mangsa kali terakhir melihat J Nisha kira-kira 6.30 pagi semasa dia memasuki kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh.
Menurut beliau, semasa kejadian, mangsa memakai baju kurung putih, kain biru muda, kasut sekolah dan beg sekolah warna hitam.
Bagaimanapun katanya semasa ingin menjemput remaja itu pada 2.30 petang semalam, wanita berusia 42 tahun itu mendapati anaknya belum keluar dari kawasan sekolah.
“Ibunya percaya remaja perempuan itu keluar semula dari sekolah sejurus dia beredar,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Mengulas lanjut Bahrin berkata ibu remaja itu kemudian bertanyakan kepada guru kelas dan dimaklumkan remaja itu tidak masuk ke kelas.
Beliau berkata, keluarganya tidak pasti ke mana mangsa pergi dan dengan siapa. Malah tiada saksi yang melihat mangsa keluar dari sekolah.
Menurutnya mangsa tidak pernah keluar rumah dan tidak pernah mendatangkan masalah dalam keluarga.
Malah katanya siasatan mendapati tiada sebarang masalah dan perselisihan faham dalam keluarga yang berlaku sebelum mangsa hilang.
Tambahnya siasatan kes masih diteruskan mengikut Kertas Enkuiri Polis Orang Hilang (KEP OH).

