Hanya kerana tidak bersua muka, tidak bermakna seseorang itu selamat daripada ditipu. Statistik menunjukkan kebanyakan wanita berumur 40 tahun ke atas, berkarier, bujang atau ibu tunggal sering menjadi mangsa penipuan Internet oleh rakan yang mereka kenali menerusi lawan web sosial.
Pedofilia merupakan sejenis penyakit mental yang dikaitkan dengan pesalah seksual kanak-kanak. Seseorang itu dianggap sebagai penjenayah pedofilia sekiranya berumur 16 tahun ke atas dan mempunyai minat berunsur seksual terhadap kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah.
Ia dikategorikan sebagai jenayah pedofilia sekiranya perbezaan umur antara mangsa dan pesalah tidak kurang dari lima tahun. Dari segi statistik, kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofilia tidak mengira jantina. Majoriti pesalah pula adalah lelaki dengan segelintir kecil terdiri daripada golongan wanita.
Sebanyak 124 kes melibatkan jenayah seksual kanak-kanak di Malaysia dilaporkan antara tahun 2009 dan 2012. Namun menurut PDRM, jumlah sebenar adalah lebih tinggi kerana dipercayai terdapat kes yang tidak dilaporkan.
Di Malaysia, penjenayah yang melakukan kesalahan ini boleh didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan sebat.

Ciri-Ciri Penjenayah Pedofilia
Kesimpulan hasil kajian pakar-pakar psikologi dunia seperti Freud, Stedman dan Krafft-Ebing mengenal pasti beberapa ciri utama penjenayah seksual ini:
1. Penyakit mental ini diwarisi atau penjenayah pernah menjadi mangsa seksual semasa kecil.
2. Penjenayah seksual tegar hanya berminat dengan kanak-kanak dan tidak mempunyai perasaan terhadap orang dewasa.
3. Penjenayah sering berfantasi tentang kanak-kanak dan jika perbuatan itu tidak dibuat, ia boleh mengakibatkan kemurungan dan tekanan terhadap dirinya.
Taktik Penjenayah
Pelbagai cara digunakan oleh individu dan sindiket yang menjadi dalang kepada jenayah ini :
1. Penjenayah menggunakan lawan web sosial atau ‘online chatting’ seperti Facebook dan Yahoo Messenger untuk mengumpul gambar dan berkenalan dengan kanak-kanak dari seluruh dunia.
2. Penjenayah memilih untuk bekerja di tempat yang memberi akses mudah kepada kanak-kanak.
3. Penjenayah gemar berlegar di Kawasan pertmainan kanak-kanak untuk mengintai bakal mangsa.
4. Penjenayah sama ada orang asing atau mempunyai pertalian darah sanggup meluangkan mangsa berbulan-bulan membina hubungan dan meraih kepercayaan ahli keluarga dan kanak-kanak sebelum bertindak. Mereka juga sering mengumpan mangsa dengan hadiah.
5. Penjenayah yang terdesak sanggup menculik mangsa untuk melepaskan nafsu sebelum membunuh mangsa.
6. Sindiket antarabangsa mewujudkan jaringan ahli daripada seluruh dunia melalui portal laman web rahsia untuk bertukar gambar, maklumat dan juga kanak-kanak yang telah dibentuk untuk memuaskan nafsu mereka.

Tindakan Pihak Berkuasa
Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Australia juga telah mewajibkan semua pesalah seksual kanak-kanak berulang didaftarkan di laman web pedofilia negara masing-masing.
Laman web tersebut boleh diakses oleh pihak berkuasa, ibu bapa dan bakal majikan yang ingin menapis calon-calon yang akan bekerja dengan mereka. Usaha ini dapat mengelakkan majikan daripada mengambil pekerja yang mempunyai rekod jenayah daripada bekerja, khususnya di fasiliti yang menempatkan ramai kanak-kanak.
Ia juga memberi kemudahan kepada ibu bapa untuk mengenal pasti identiti pesalah yang menetap dalam komuniti mereka dan memantau pergaulan anak-anak mereka dengan lebih berkesan.
Pada tahun 2009, pihak berkuatkuasa antarabangsa menerusi Operasi Delego telah berjaya menumpaskan laman web Dreamboard yang digunakan oleh penjenayah-penjenayah seksual kanak-kanak daripada seluruh dunia.
Ia merupakan tangkapan yang terbesar melibatkan 16,000 DVD dan penjenayah dari 14 buah negara. Namun dari 600 orang ahli, hanya 72 yang berjaya didakwa disebabkan kompleksiti kod yang yang digunakan. Operasi ini masih berjalan sehingga sekarang dalam usaha membanteras jenayah ini daripada terus berleluasa.
Di Malaysia pula, seorang penganggur lelaki berumur 32 tahun di Petaling Jaya dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun kerana didapati bersalah atas cubaan merogol dan menculik seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun. Penjenayah telah masuk ke dalam bilik darjah kanak-kanak tersebut pada awal pagi sebelum membawanya keluar ke kawasan hutan berhampiran melalui pagar sekolah yang rosak.
Panduan Keselamatan Untuk Ibu Bapa
Ibu bapa atau penjaga utama kepada kanak-kanak ini boleh mengambil langkah berjaga-jaga seperti berikut:
1. Gunakan aplikasi ‘Parental Control’ di komputer untuk mengawal penggunakan Internet oleh anak-anak. Aplikasi ini membolehkan ibu bapa meletakkan had kepada masa dan jenis laman web yang boleh dilayari oleh anak-anak.
2. Jangan kongsi video dan gambar peribadi anak-anak sedang mandi atau tidak berpakaian di blog atau laman web sosial. Bahan seperti ini mungkin lucu bagi si ibu bapa, tetapi sebenarnya dikumpul oleh penjenayah tegar dan digunakan semasa berfantasi tentang kanak-kanak.
3. Ajar anak untuk tidak dedahkan identiti, lokasi dan berjumpa dengan orang yang baru dikenali menerusi ‘online chatting’.
4. Ambil tahu aktiviti dan pergaulan anak-anak seharian, semasa atau selepas waktu sekolah.
5. Jangan biarkan anak-anak bermain atau berjalan ke kedai seorang diri.
6. Bekalkan anak dengan alat keselamatan seperti wisel semasa mereka ke sekolah atau bermain dengan kawan-kawan di taman permainan. Ajar mereka untuk meniup wisel bagi mendapatkan perhatian orang ramai sekiranya diganggu orang yang tidak dikenali.

