PM tegaskan tidak pernah campuri urusan siasatan kes rasuah mana-mana individu

Dari Penulis

PERDANA Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah mencampuri urusan agensi penguatkuasaan dalam menyiasat atau merampas harta mana-mana individu yang terkait dengan siasatan kes rasuah.

Beliau berkata arahan kerajaan adalah menyeluruh untuk agensi berkaitan menyiasat siapa sahaja yang dikesan memunggah kekayaan secara haram.

“Saya tidak campur dalam urusan satu persatu, ahli-ahli Jemaah Menteri, TPM (Timbalan Perdana Menteri) tahu, kita tidak campur supaya siasat si A atau si B, atau rampas harta si A atau si B.

“Arahan kita itu menyeluruh, siapa sahaja yang dikesan memunggah kekayaan secara haram, menggondol kekayaan berbilion dahulu apa lagi sekarang, tanggungjawab badan penguatkuasaan mestilah bertindak dengan tegas dan berani, dan kita akan pertahankan mereka,” katanya ketika berucap menutup Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak 2024 di Ipoh hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, beberapa Menteri Kabinet serta pimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional peringkat negeri.

BERITA BERKAITAN PM yakin rakyat rasai hikmah keadilan dan kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah

Mengulas lanjut, Anwar berkata kekuatan dan kuasa yang ada pada Kerajaan Perpaduan harus digunakan untuk menghentikan amalan rasuah yang menyebabkan negara berdepan masalah ekonomi yang rumit ketika ini.

“Hutang RM1.1 trilion campur liabiliti kontingensi iaitu jaminan kerajaan mencecah hampir RM1.5 trilion. Orang boleh suarakan kenapa bicara soal lama. Ya, itu soal lama kerana sekarang harus bayar.

“Ini menuntut kita mengurus ekonomi secara bertanggungjawab, dasar ekonomi dan pengurusan yang bertanggungjawab, tidak semestinya tapi kita kena ambil tindakan,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan tidak boleh menyelesaikan semua hutang itu dan mengorbankan peruntukan bagi pembangunan negara serta kebajikan rakyat termasuk dalam soal pendidikan, prasarana dan kesihatan.

Perdana Menteri berkata pada tahun ini, kerajaan bercadang menumpukan kepada program membaik pulih perumahan rakyat termasuk kuarters anggota polis dan tentera serta penjawat awam yang disifatkan sebagai sangat daif dan tidak sesuai diduduki.

“Ini yang kita kerjakan, yang kebetulannya majoriti Melayu tetapi kita tidak jadikan agenda ini Melayu semata-mata tetapi agenda Malaysia, agenda rakyat seperti baiki tandas… 8,600 lebih sekolah mempunyai tandas yang sangat buruk serta daif… dan kita selesaikan semua,” katanya.

— BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli: ‘Jika terbukti salah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM’

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap enam pelajar Tingkatan Lima...

More Articles Like This