SEBANYAK 3,792 stesen minyak terlibat dalam Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang boleh digunakan oleh syarikat perintis bergantung kepada laluan kenderaan syarikat masing-masing di seluruh Semenanjung.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha rintis itu dijangka dapat memberi maklum balas dan analisis yang tepat kepada kementerian dalam memperkemas mekanisme bagi penyasaran semula subsidi diesel.
Jelas beliau, sebelum pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel itu yang tarikhnya akan ditentukan kelak, KPDN turut mengambil langkah untuk menguji Sistem MySubsidi Diesel.
Armizan berkata, Sistem MySubsidi Diesel akan diguna pakai bersama Sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak dalam pelaksanaan penyasaran subsidi nanti.
Katanya, sejumlah enam syarikat perintis telah menerima Fleet Card melalui pilihan syarikat minyak masing-masing.
“Kerajaan telah merancang untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel pada suku kedua tahun 2024 yang bermaksud subsidi diesel tidak akan diberikan secara pukal di stesen-stesen minyak.
“Kerajaan pada dasarnya mempertimbangkan pemberian subsidi dengan kadar khas kepada Sektor Pengangkutan Darat bagi sub-sektor Awam dan sub-sektor Barangan melalui pelaksanaan SKDS 2.0,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga: KPDN bantu dapatkan kereta baharu, kata pemilik Honda HR-V rosak
Mengulas lanjut, Armizan berkata, langkah awal itu juga secara tidak langsung dapat menguji keberkesanan Sistem MySubsidi Diesel dan juga sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak sebelum dilaksanakan kepada keseluruhan industri.
Katanya, mekanisme penggunaan Fleet Card itu adalah antara usaha kerajaan untuk beralih daripada Sistem Analog Skid Tank kepada Fleet Card.
Menurut Armizan, langkah itu dapat memastikan subsidi secara bersasar dapat dilaksana secara bersepadu selain dapat memastikan kes ketirisan dan penyeludupan pada tahap yang paling minimum.
“Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan keperluan sebenar Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) bagi membantu mengurangkan kesan kos pengangkutan agar tiada kenaikan kos berganda khususnya kepada harga barangan.
“Kerajaan juga komited dalam merangka pelan penyasaran semula subsidi yang cekap dan berkesan kepada semua golongan sasar khususnya di bawah bidang kuasa KPDN,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

