Pernah tak anda mengalami keadaan di mana anda rasa ada sesuatu di belakang anda apabila sedang melihat cermin? Apa yang akan saya ceritakan ini adalah pengalaman saya tentang kelibat tersebut. Ia berlaku pada penghujung tahun 2011 sewaktu saya tinggal menyewa dengan dua orang rakan.
Antara kami bertiga, biasanya sayalah orang yang paling lambat sekali masuk tidur. Biasanya dalam pukul satu atau dua pagi, baru saya masuk ke bilik.
Seperti biasa, sebelum masuk tidur, saya akan membasuh muka terlebih dahulu. Ia sudah menjadi amalan saya sejak sekolah menengah lagi. Walau penat atau mengantuk macam mana sekali pun, saya tetap akan lakukannya.
Suatu malam sewaktu saya hendak mencuci muka, ketika saya memandang cermin, dari ekor mata saya perasan ada semacam kelibat melintas di belakang.
Pada awalnya saya buat tak kisah saja. Mungkin Fatin yang lalu. Sebab sebelum saya masuk ke bilik air tadi, Fatin bangun. Katanya hendak minum. Jadi, saya syak kelibat itu mestilah Fatin. Tapi saya agak musykil, kenapa Fatin jalan tidak berbunyi langsung?
Untuk memastikan itu Fatin atau bukan, saya memanggil namanya.
“Tin… Tin! Fatinnn!” Fatin tak menyahut langsung. Tak kan dia tak dengar panggilan saya.
“Fatinnn!!!!” saya menguatkan suara. Haram tak menyahut! Hmm… dah masuk ke dalam biliklah tu!
Saya keluar dari bilik air dengan muka yang masih comot dengan krim pencuci muka, terus menuju ke bilik Fatin. Tapi… Fatin ada di dalam biliknya. Saya terpaku.
Tak mungkin Fatin dah tidur! Takkan sekejap sangat? Tadi baru dia melintas di belakang saya. Fatin bukan saja sudah tidur, malahan siap berdengkur lagi. Kalau Fatin dah tidur dan siap berdengkur, siapa yang lalu di belakang saya tadi?
Melihatkan Fatin sudah tidur, saya ke bilik air semula untuk membilas krim pencuci yang masih melekat di muka. Ketika kali kedua saya menyapukan air ke muka, sekali lagi ada kelibat seperti yang saya perasan sebelumnya tadi, melintas di belakang saya.
Tidak semena-mena bulu roma saya naik tegak. Cepat-cepat saya membilas muka. Sesudah bilas, saya mengenakan cermin mata. Hah, barulah clear.
Saya menuju ke bilik Fatin semula. Dia masih lagi baik punya berdengkur. Saya terfikir, kalau Fatin masih tidur, habis tadi kelibat siapa?
Siapa lagi ada di dalam rumah ini? Lina tak balik malam ini. Dia tidur di rumah mak ciknya. Jangan-jangan… Ah tak mungkin!
Saya rasa kelibat yang melintas di belakang saya tadi hanya khayalan saya saja. Kalau dah rasa seram tu, macam-macam boleh terlintas di kepala. Saya harapkan ia hanya khayalan saja.
Ketika menuju ke bilik, sekali lagi saya rasakan ada sesuatu yang mengekori. Saya mematikan langkah. Saya pegun, tetap di situ. Dari biasan cermin mata saya, memang jelas, ‘benda’ yang mengekori saya itu turut berhenti. Saya menoleh ke belakang dengan pantas. Manalah tahu, kalau-kalau saya dapat lihat siapa dia.
Tak ada! Memang tak ada sesiapa! Saya berjalan semula dengan pantas menuju bilik. Di depan pintu bilik, saya membaca al-Fatihah. Sambil saya membaca, bulu roma tangan saya naik semula.
Habis baca al-Fatihah, saya buka pintu dan kemudian menutupnya dengan cepat. Tujuannya supaya ‘benda’ yang mengekori saya itu tidak ikut masuk ke dalam bilik.

Di dalam bilik, saya baring di atas lantai dan bukan di atas katil. Dari lantai, saya seakan-akan terpandang ada ‘benda’ berada di atas katil. Saya tak pasti siapa atau apa.
Saya bingkas bangun. Tapi tak ada sesiapa pun di katil. Saya mula panik. Lalu saya bangun dan baring di atas katil. Saya tidak mematikan lagi lampu. Biarlah ia terpasang. Kalau ia hantu atau apa-apa sekalipun, sudah tentu ia tidak suka kepada tempat yang terang benderang! Itu anggapan saya.
Dada saya berdebar tidak keruan. Sambil mata saya liar memerhatikan sekeliling di dalam bilik, saya tidak henti-henti membaca al-Fatihah dan ayat Kursi. Entah bila masa saya terlelap, saya pun tak tahu. Bila saya tersedar, sudah pukul 5.00 pagi.
Saya bangun. Dari celah-celah atas daun pintu, saya lihat lampu di bilik air sudah terpasang. Mungkin Fatin yang buka, sebab biasanya dia yang bangun dulu. Saya duduk di kerusi dapur menanti giliran untuk mandi. Hari tu saya terpaksa bangun awal kerana saya kena ke pejabat awal.
Lama juga saya menanti Fatin keluar dari bilik air, tapi dia tak keluar-keluar. Bilik air pun senyap saja, tak ada bunyi macam orang mandi. Lama sangat menunggu, saya menuju ke bilik Fatin. Sekali lagi saya terkejut, Fatin masih tidur lagi! Habis tu, siapa yang di dalam bilik air?
Ah mungkin Fatin dah bangun tadi. Dia ke bilik air dan lupa untuk mematikan lampu bilik air. Saya cuba merasionalkan fikiran dan membuang jauh-jauh andaian yang bukan-bukan.
Saya menuju ke bilik air semula untuk mandi. Sekali lagi peristiwa malam tadi terjadi. Ketika saya menuju ke bilik air, di belakang saya seolah-olah ada ‘benda’ yang mengekori. Sekali lagi bulu roma saya naik.
Walaupun rasa tidak selesa ‘diekori’, saya tetap juga ke bilik air untuk mandi dan kemudian ke pejabat.
******
PETANG ITU setelah pulang dari kerja, Fatin menunggu saya di restoran berhampiran untuk makan malam. Pelik saya tengok Fatin. Selalunya jarang dia ajak saya makan malam bersama-sama. Biasanya dia dengan Mali, teman lelakinya.
Di restoran yang letaknya tak jauh dari rumah kami, Fatin menceritakan kisah yang dia alami semalam dan pagi tadi. Kata Fatin, ketika dia bangun untuk minum malam tadi, dia rasakan ada ‘benda’ mengekorinya.
Fatin sangkakan saya, jadi dia buat biasa sajalah. Bila dia panggil, saya tidak menjawab, mulalah dia mencari saya. Dia ke bilik saya dan dia tengok saya sedang tidur.
Saya terkejut mendengar cerita Fatin. Ceritanya ni macam sama saja dengan cerita saya. Saya ke bilik air untuk mencuci muka sebelum masuk tidur, sedangkan dia ke dapur untuk minum.
Adakah kami mengalami perkara yang sama? Tapi nyata, nampaknya macam itulah – dipendekkan cerita, ada ‘benda’ melintas di belakang kami dan ada ‘benda’ mengekori kami.
Sejak hari itu, Fatin ajak saya tidur di ruang tamu. Tiga malam kami berdua tidur di ruang tamu. Malam keempat, barulah Lina pulang dari rumah mak ciknya.
Kami menceritakan segala-galanya kepada Lina. Lina pun macam kami, penakut juga. Akibatnya, mulai malam itu kami semua tidur bersama di ruang tamu sehinggalah akhirnya kami masing-masing berpindah.
Sejak kami tidur bersama, gangguan itu tidak berulang lagi. ‘Benda’ apa agaknya yang mengekori kami dulu? Saya pun tiada jawapannya.
Catatan pengalaman : Dayang Sazwani, Seri Aman, Sarawak.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

