PELAKON Datin Elvina Mohamad mendedahkan pernah berdepan dengan pengalaman ‘ditindih’ ketika sedang tidur pada siang hari.
Menurut Elvina, kejadian tersebut berlaku sewaktu dia masih lagi menjalani penggambaran filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam.
“Penggambaran bermula malam sehingga pagi. Memang waktu tidur saya berubah disebabkan komitmen untuk filem ini.
“Bila saya balik rumah nak tidur, saya rasa ‘ditindih’ sehingga sesak nafas. Memang banyak kejadian pelik yang berlaku.
“Selain itu, saya ternampak seakan bayangan berwarna hitam. Memang agak terkejut sebab saya fikir ada anak yang masih kecil lagi.
“Tapi mujurlah, sepanjang saya sibuk di set penggambaran, anak-anak tak duduk serumah dengan saya,” katanya kepada URTV.
Elvina berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam, baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai filem arahan Azaromi Ghozali, Elvina mengakui dia bukanlah seorang yang meminati filem genre seram.
Namun, disebabkan jalan cerita yang menarik selain ingin keluar dari zon selesa, Elvina sanggup mencabar diri untuk menjadi sebahagian daripada barisan pelakon filem tersebut.
“Sepanjang saya aktif dalam bidang lakonan, sejujurnya saya ada ditawarkan banyak filem seram tapi satu pun saya tak terima sebab saya seorang yang penakut.
“Tapi untuk filem Waruga ni sebab saya tertarik dengan barisan pelakon yang sedia ada. Selain saya terfikir nak cuba kelainan. Jika ada sekuel untuk filem ini, mungkin saya tak terima lagi rasanya,” ujarnya berseloroh dan disambut dengan tawa kecil.
Filem ‘Waruga: Kutukan Ilmu Hitam’ arahan Azaromi Ghozali ini bakal menemui penonton di seluruh panggung wayang bermula 15 Februari ini.
Selain Elvina, antara pelakon lain yang turut membintangi filem ini ialah, Zahiril Adzim, Eriza Allya, Sahronizam Noor dan Ruminah Sidek.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

