Kita pernah dengar tentang mandi lumpur, mandi air garam dan sebagainya. Namun, pernahkah anda dengar mandi dengan arus elektrik? Membayangkannya saja sudah terasa seram, terbayang bagaimana jika terkena renjatan sewaktu berendam, bukan?
Sebenarnya, ia lebih kepada sejenis rawatan yang dikenali sebagai ‘galvanic bath’. Galvanic bermaksud menghasilkan atau berkaitan dengan arus elektrik. Jadi, ia secara tidak langsung membawa maksud terapi mandi elektrik.
Rawatan ini sebenarnya terapi yang telah digunakan oleh masyarakat zaman dahulu. Kira-kira pada abad ke-20, cara ini banyak digunakan oleh penduduk di Amerika Utara.

Lazimnya, apabila elektrik bercampur dengan air sudah tentu mendatangkan kesan buruk seperti kejutan arus atau letupan. Namun, rawatan ini mengaplikasikan teknik tersebut dan dijalankan ke atas orang ramai yang mahu berubat.
Kaedah yang dilakukan dalam mandi elektrik ini bukanlah menggunakan arus elektrik kuat. Meskipun melibatkan penggunaan air dan arus secara serentak, ada cara tersendiri yang dijalankan bagi mengelakkan sebarang kesan buruk kepada pesakit.
Bagaimana langkah menjalani rawatan ini? Secara asasnya, pesakit akan dibaringkan di dalam air bersuhu 34 darjah Celsius. Kemudian, arus elektrik lembut akan dialirkan ke dalam air takungan. Individu yang menjalani rawatan ini akan dibiarkan selama 15 minit bagi memberi kesan positif kepada penyakit yang dialami.
Dalam pada itu, teknik mandi elektrik terbahagi kepada dua kategori. Pertama, seluruh tubuh bermula dari leher sehingga ke kaki pesakit atau disebut sebagai ‘galvanic’ penuh. Kedua, hanya fokus pada bahagian anggota yang mengalami sakit seperti tangan atau kaki dan dikenali dengan mandi ‘galvanic’ empat anggota.
Bagi pesakit yang mahu menjalani terapi pada bahagian anggota, mereka hanya perlu merendam tangan atau kaki ke dalam bekas yang disediakan sebelum elektrik lembut dialirkan ke dalam air.

Disebabkan hanya melibatkan bahagian tubuh tertentu, pesakit perlu duduk semasa menjalani terapi ini. Tujuannya, bagi memudahkan kedudukan anggota direndam ketika rawatan. Hasilnya juga dikatakan mendatangkan impak positif dengan mengurangkan atau menyembuhkan penyakit mengikut tubuh masing-masing.
Kaedah mandi elektrik ini dipercayai boleh mengubati penyakit degeneratif iaitu berkaitan dengan kemerosotan dan kehilangan fungsi khusus pada sel-sel sesuatu tisu atau organ. Contohnya seperti artritis dan masalah sendi. Bagaimanapun, pada awal pendedahan rawatan, mandi elektrik hanya dikhususkan ke atas kaum wanita sahaja.
Menurut laporan New York Medical Care, mandi elektrik tersenarai sebagai salah satu rawatan hidroterapi. Hidroterapi bermaksud rawatan air untuk mengubati penyakit.
Penggunaan air dalam teknik mengurangkan atau menyembuhkan penyakit telah digunakan sejak beratus-ratus tahun dahulu. Terapi jenis ini kekal menjadi salah satu rawatan alternatif sehingga masa kini.

Selain itu, terapi mandi daripada air suam juga termasuk dalam kategori hidroterapi. Fungsinya juga dikatakan sama seperti ‘galvanic’ iaitu merawat penyakit sendi dan menyebabkan berlakunya proses perpeluhan. Tidak hanya itu, bahan asing seperti garam laut, minyak aromaterapi dan lumpur mineral akan membantu menggalakkan kesan terapi air dalam rawatan artritis, keradangan dan ketegangan otot.
Sementara itu, Dr. Jennie Kidd Trout dikatakan antara individu terawal yang mewujudkan teknik rawatan mandi elektrik. Uniknya, Jennie merupakan satu-satunya doktor tunggal wanita dalam bidang perubatan di Kanada selama separuh dekad sehingga tahun 1880-an.

Semuanya bermula ketika Jennie mendapati dirinya sering mengalami rasa gementar selama enam tahun pada awal perkahwinan. Bagi mencari teknik penyembuhan gejala tersebut, Jennie mencuba kaedah rawatan menggunakan air dan elektrik.
Hasilnya, Jennie mendapati rawatan tersebut memberi ketenangan kepada dirinya walaupun untuk seketika. Disebabkan itu, wanita ini berazam untuk mengembangkan kebolehan terapi berkenaan melalui jurusan perubatan yang diambil.
Pada tahun 1875, doktor wanita ini telah membuka sebuah pusat terapi dan institut elektrik di Toronto. Kaedah rawatan yang dijalankan pada masa itu sudah tentunya terapi mandi elektrik yang pernah dijalankan menerusi pengalaman sendiri. Begitu pun, semasa di peringkat awal, alternatif ini hanya tertumpu pada kaum wanita sahaja.
_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

