Hari ini bermula cuti sekolah panjang. Bila tiba musim cuti begini, ibu ayah pun antara yang sibuk juga memikirkan apa aktiviti hendak dilakukan atau merancang percutian dengan anak-anak.
Zaman sekarang, macam-macam aktiviti ada untuk mengisi masa cuti. Tapi, rasanya mungkin suasananya tidak lagi serupa seperti cuti kanak-kanak zaman 90an dahulu, ketika dunia belum disibukkan dengan pelbagai gajet dan alatan moden.
Cuti sekolah zaman 90-an dulu seronok. Tak boring dan semua aktiviti tidak memerlukan kos yang besar. Ada sahaja aktiviti boleh dilakukan. Dulu mana ada sangat mak ayah bawa anak jalan-jalan macam zaman sekarang. Mak ayah dulu pun bukannya berduit sangat. Tak macam sekarang, mudah untuk ke mana-mana dan banyak tempat menarik.
Siapa yang membesar era itu, ingat lagi aktiviti bila tiba waktu cuti sekolah? Banyak aktiviti selain bermain saja. Pendek kata, kalau sebulan cuti pun tak cukup. Kalau kanak-kanak sekarang dilahirkan zaman dunia tanpa sempadan, kita dulu-dulu berada di masa tanpa sempadan. Dari pagi sampai ke malam, penuh aktiviti.
Meh Ambo cerita sikit aktiviti yang kanak-kanak dulu isi sewaktu cuti sekolah. Paling biasa dilakukan oleh kanak-kanak kampung sudah tentu mandi sungai. Kalau cuti sekolah, celik je mata, tak sempat gosok gigi, terus pergi cari kawan-kawan. Idea pertama keluar, mesti mandi sungai.

Fuh! Seronok kalau dapat berendam. Kalau di Kelantan, kami mandi sambil cari etak. Dia macam kerang, tapi kulitnya licin, warna hitam. Di tepi sungai, kami akan buat satu khemah dengan kotak. Bawa satu tin milo kosong untuk memasak.
Dah siap khemah, apa lagi… terjunlah dalam sungai sambil mencari etak. Sedap etak ni. Rasa dia lemak-lemak. Biasa etak ni orang salai atau buat gulai kuning. Tapi kami dulu tak ada nak salainya, rebus jer, terus ngap di tepi sungai tu.
Masa dalam air, semua tak lepas nak tunjukkan kehebatan masing-masing. Buat terjunan gorila terbang, terjunan angsa bertanduk, terjunan itik menyudu air dan macam-macam lagi.
Dah kecut satu badan baru tahu nak naik. Tapi sebelum balik, mesti singgah di surau dulu. Basuh semua selut-selut yang bertempek. Kalau tak, memang masak kena marah dengan mak.
Zaman dulu mak ayah tak kisah anak-anak nak pergi mana-mana pun. Tak ada kes culik dan sebagainya. Janji tak pergi ke sungai je. Bimbang takut lemas. Tapi budak-budak, mana fikir sangat fasal bahaya. Jangan tiru yer perangai begini. He he…

Satu lagi yang seronok cuti sekolah dulu-dulu bila sepupu-sepupu balik ke kampung. Kalau dah ramai-ramai, mesti macam-macam aktiviti. Malam-malam sebelum tidur, akan ada sesi bercerita hantu. Sepupu yang paling tua akan bercerita. Memang seram. Sampai nak pergi kencing pun takut.
Satu kisah yang Ambo ingat, satu malam kami semua berkumpul di ruang tamu. Biasalah kalau dah ramai-ramai, mana cukup bilik. Semua tidur kat ruang tamu. Bersepah tidur. Bahagian budak-budak hujung sekali.
Waktu dengar cerita, semua tutup badan dengan kain selimut. Muka jer keluar. Sedang kami dengar cerita, tiba-tiba terdengar ada orang batuk di sebelah. Kami semua berpaling ke belakang. Sebaik berpaling nampak satu wanita berwajah sangat putih sedang duduk berhampiran kami. Apa lagi, bertempik semua lari. Semua yang tidur, segera bangun dan membuka lampu.
“Kenapa? Kenapa?” soal mereka yang bangun terkejut.
“Hantu!!!” jerit kami semua.
Rupanya, itu adalah Mak Ngah kami. Dia pakai bedak sejuk. Dia sebenarnya bukan nak takutkan kami, dia pun nak dengar cerita hantu juga. Tapi, bila nampak wajah bertepek putih dalam keadaan gelap, mau kami tak terkejut ingatkan hantu. Keh keh keh…
Susah nak jumpa suasana begitu zaman sekarang. Kanak-kanak kini sedara atau sepupu pun ramai tak kenal. Kalau berkumpul, semua sibuk dengan gajet masing-masing.

Kanak-kanak dulu kalau turun rumah pagi, tengah hari mesti kena balik sekejap. Mandi dan makan, lepas tu baru boleh keluar semula. Kalau tak balik makan tengah hari, bila mak dah cari, teruklah kena. Paling ringan pun kena jembeng telinga. Itu mesti. Satu lagi waktu Maghrib, kena balik sebelum azan. Kalau tak ikut, cari nahas jawabnya.
Kanak-kanak dulu tak perlukan gajet yang beribu-ribu untuk bermain. Apa yang ada disekeliling sahaja boleh dijadikan permainan. Jumpa kayu, kita buat main konda-kondi. Jumpa tin, main tin. Jumpa upeh, kita main tarik upeh. Jumpa selipar, kita main baling selipar. Jumpa getah, kita main zero point dan macam-macam lagi.
Bukan kata tu, jumpa semut pun boleh buat main lawan semut. Jumpa labah-labah pula buat main lawan labah-labah. Bukan itu saja, kemuncup pun boleh buat main. Hebat tak kanak-kanak dulu?
Bukan hanya buat permainan dengan melihat barang sekeliling, malah permainan pula ikut cuaca. Kalau musim hujan, main dalam parit. Lepas hujan berhenti, mulalah timbul idea macam-macam. Kalau bab tangkap ikan laga, ikan sepilla tu tak yah ceritalah, itu biasa. Tapi boleh juga jadi permainan.
Itu pun kalau dah dapat ikan, buat pula pertandingan ikan laga. Tengok ikan sape paling langsi. Ikan akan dimasukkan dalam botol oren 30 sen yang jernih tu. Tak pun buat pertandingan ikan siapa paling cantik.
Tapi, satu permainan yang popular waktu hujan ialah main lumba daun atau kapal dalam parit. Kalau tak sempat balik buat kapal kertas, daun pun boleh digunakan. Semua pakat cari daun dan duduk di kepala air lalu. Dua orang akan duduk di hujung parit. Lihat daun siapa yang paling laju.

Kalau musim panas, tak payah cerita. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan. Masuk dusun, main di padang, panjat pokok, masuk kebun getah dan macam-macam lagi. Satu yang seronok dulu adalah melastik burung.
Musim panas, burung banyak cari makan di dusun. Masing-masing semua nak tunjuk siapa yang paling hebat. Semua tunggu di bawah pokok tunggu burung hinggap. Bisanya kami gunakan peluru anak batu atau biji buah getah. Peluru penuh dalam poket, manakala lastik pula gantung ditengkuk. Pergh! Bergaya tu.
Banyak lagi aktiviti kanak-kanak dulu, penuh daripada pagi sampai ke petang. Adakalanya sambung di surau pula pada waktu malam. Semua aktiviti yang dilakukan tidak memerlukan sebarang modal, tetapi tetap menyeronokkan. Betul tak?
Catatan : Ambo, Kota Bharu, Kelantan.
_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

