Acap S akur kalah dengan Ryan Bakery – “Saya gembira untuk dia walaupun terkilan tak dapat bawa kemenangan buat ibu & isteri”

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

TIADA apa yang diharapkan bakat baharu, Acap S sebaik sahaja namanya berjaya menembusi kategori Best National Comedy Influencer sempena KNKV Award 2024 selain kemenangan.

Bagaimanapun, Acap akur nasib tidak menyebelahinya sebaik sahaja personaliti media sosial terkenal iaitu Ryan Bakery diumumkan sebagai pemenang kategori terbabit.

“Saya gembira apabila nama Ryan diumumkan sebagai pemenang tapi dalam masa yang sama bersedih dengan kekalahan sendiri. Ini merupakan penampilan perdana saya dalam industri hiburan tanah air.

“Memang saya datang dengan harapan yang sangat tinggi untuk menang dalam kategori berkenaan. 

“Tak mengapa, ini merupakan pengalaman pertama saya bersama dengan barisan Influencer berpengaruh tanah air dalam acara berkenaan, itu sudah cukup menggembirakan,” katanya.

Selain Acap S dan Ryan, turut tercalon dalam kategori berkenaan ialah  We Xiang Tan, Ikhmal Nour dan Imran Bard.

Acap S atau nama sebenarnya Mohammad Asraf Jaafar, 29 tahun merupakan salah seorang pempengaruh tanah air. 

Dia yang mempunyai satu juta pengikut di TikTok dengan nama @acaps19, sebenarnya bersedih apabila mengenangkan hasrat ibunya yang mahu dia mendakap kemenangan.

Sejak beberapa tahun lalu, kesihatan ibunya, Jamilah Ahmad,  merosot dan sangat mengharapkan kemenangannya pada malam berkenaan. 

Sudah pasti hasrat tersebut tidak terlaksana dan membuatkan air matanya menitis mengenangkan harapan tinggi yang diletakkan oleh orang yang paling disayanginya.

“Malam itu ibu melihat saya di TV. Awal-awal lagi dia mengharapkan saya membawa pulang trofi tapi berakhir hampa. Saya menangis mengenangkan perkara itu memandangkan ahli keluarga lain turut mengharapkan perkara yang sama.

“Lagi satu, saya terkilan kerana tak dapat menghadiahkan kemenangan itu kepada isteri saya, Nur Adriana Syazwani Asrul Affendi dan peminat yang mengundi saya sejak awal lagi. 

“Mereka begitu gigih mengundi dan saya harap semuanya bertenang, kita cuba lagi pada lain masa,” tambah anak kelahiran Gerik, Perak ini lagi.

Jelas Acap, isterinya begitu teruja saat namanya mula dicalonkan dan mereka sudah merancang pelbagai strategi untuk meraih undian sejak awal pencalonan lagi. 

Mengimbas kembali perjalanan seni Acap S, dia sebenarnya terlebih dahulu aktif menerusi aplikasi Bigo Live sebelum beralih sebagai selebriti TikTok. 

Dia juga pernah terlibat dalam beberapa buah drama dan filem tempatan termasuklah Muliakah Aku, Keluarga Kamil, Siti Supir dan Jiwa 18.

Jelasnya, dia akan mempertimbangkan segala tawaran berlakon memandangkan ketika ini dia masih tinggal di Gerik kerana menjaga ibunya.

Dia akan berulang alik dari Gerik ke Kuala Lumpur sekiranya ada pekerjaan yang perlu diselesaikan dan menganggap ini merupakan pengorbanan yang manis dari anak kepada seorang ibu.

“Tidak ada perkara paling membahagiakan selain dapat menjaga ibu. Sejak arwah ayah meninggalkan kami hampir satu dekad yang lalu, sayalah yang menjaganya. Segala keperluan disiapkan untuk ibu sebelum saya keluar bekerja.

“Kalau ada tawaran berlakon memang saya mahu kembali aktif memandangkan itu memang sudah menjadi minat sejak dahulu. Kalau boleh memang saya mahukan watak kelakar kerana itu memang minat sejak dahulu.

“Tapi sekarang pun saya gembira dapat menghiburkan pengikut setiap kali live di TikTok, korang jangan lupa follow saya,” tambah bapa kepada seorang anak ini mengakhiri perbualan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Keanggunan songket maroon burgundy, sentuhan eksklusif Man Kajang di majlis resepsi anak Che Ta, Ammar Effendy & isteri

DUNIA fesyen tanah air sekali lagi terpukau dengan keindahan busana pengantin yang digayakan oleh pasangan yang menjadi tumpuan ramai,...

More Articles Like This