TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan sekeras-kerasnya tohmahan kononnya beliau terlibat dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada Spanco Sdn. Bhd (SPANCO).
Bekas Perdana Menteri itu berkata, sehingga kini tohmahan jahat ini berlegar-legar dalam media massa dan media sosial tanpa butiran yang lengkap bagaimana beliau terbabit dan apakah salah laku tersebut.
‘’Samalah seperti tuduhan sebelum ini kononnya saya menyeleweng wang negara bernilai ratusan billion ringgit yang sehingga kini tidak dapat dibuktikan oleh mereka yang menuduh saya.
‘’Saya juga telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah berkaitan projek Janawibawa. Pihak pendakwa merayu dan rayuan akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 28 dan 29 Februari 2024. Saya berdoa semoga saya mendapat keadilan di mahkamah,’’ tegasnya.
Sehubungan itu Muhyiddin menyifatkan tohmahan berkaitan SPANCO adalah sebahagian daripada siri pembunuhan karakter oleh musuh politik yang bertujuan menjejaskan reputasi beliau.
Mengenai kontrak SPANCO, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kerajaan sepatutnya mendedahkan kenapa surat niat (LOI) yang diberikan kepada sebuah syarikat lain oleh Kerajaan Pakatan Harapan sebelum itu dibatalkan.
‘’Saya percaya maklumat mengenainya ada di Kementerian Kewangan. Perlu didedahkan juga ialah tarikh bila kontrak tersebut diberikan kepada SPANCO.
‘’Janganlah membuat tuduhan melulu terhadap saya. Sebagai Perdana Menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021, saya tidak terlibat dalam sebarang pemberian kontrak kerajaan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan.
‘’Jangan samakan kedudukan saya dengan Perdana Menteri ke-10 yang juga merupakan Menteri Kewangan. Saya tahu kedudukan saya,’’ katanya.

