PENYANYI Yuna tidak pernah mengeluh kepenatan biarpun kini kerap berulang alik dari Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur disebabkan tuntutan kerja.
Kata pemilik nama sebenar Yunalis Mat Zara’ai,37, sejak Oktober tahun lalu, kekerapan dia pulang ke Malaysia ialah setiap sebulan sekali.
“Sudah biasa. Saya sudah 12 tahun di Amerika Syarikat. Memang banyak kali saya balik ke KL, kalau boleh nak balik sebulan sekali.
“Selalunya tiga bulan sekali saya balik tapi Alhamdulillah, di Kuala Lumpur banyak acara. Jadi sekarang sejak Oktober saya balik setiap bulan.
“Kalau ada persembahan di Malaysia dan peluang itu bagus untuk saya, saya akan terima. Saya cari peluang untuk balik Kuala Lumpur dan buat persembahan di Malaysia.
“Bila ada tawaran dan memadai serta bagus untuk saya, saya akan ambil,” katanya kepada URTV.
Dalam pada itu, Yuna turut mengulas pembabitannya di Festival Supalapa yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Resorts World Awana, Genting Highlands.
“Persembahan saya akan berlangsung dalam durasi satu jam. Sebenarnya persembahan kali ini macam sambungan kepada persembahan Yunaverse tempoh hari.
“Ada set lagu yang sama cuma sebab masa untuk festival pendek sedikit, jadi kita cuba untuk padatkan untuk satu jam.
“Ada penari dan saya akan bawakan lagu baru dan lama. Saya rasa teruja membuat persembahan untuk peminat di Malaysia,” kongsinya.
Biarpun sudah lebih 10 tahun bergelar penyanyi, sejujurnya Yuna masih lagi berasa gementar setiap kali membuat persembahan pentas.
“Bila buat persembahan, pasti akan gementar. Saya sudah 15 tahun membuat persembahan tetapi setiap ‘show’ adalah berbeza dan unik.
“Tak boleh samakan sebab bagi saya bila saya beraksi, ada yang tak pernah tengok. Kali pertama buat mereka.
“Saya nak bagi tanggapan pertama yang bagus buat mereka. Gementar kat situ, selepas itu sudah okay,” katanya.
Selain Yuna, 40 penyanyi lain yang akan beraksi di Festival Supalapa ialah Tiesto, The Kid Laroi, Jeon Somi, Ali Gatie, XG, EAJ, Armani White, Tones and I, Ian Asher, Keemokazi, Paul Van Dyk, Rave Republic, dan Notep.
Selain Yuna, artis tempatan pula termasuk Saixse, Kidd Santhe, Talitha, COEX, Claudia, Belle Sisoski, Jovynn, Forceparkbois dan ramai lagi.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

