YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menzahirkan pandangan serta nasihat yang konstruktif berhubung hala tuju pembangunan Kuala Lumpur (KL).
Nasihat dan pandangan itu telah dizahirkan Seri Paduka ketika berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh di Istana Negara, hari ini.
Dalam hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka telah menekankan kepentingan tadbir urus yang berkesan dan penyampaian perkhidmatan yang cekap.
Menurut hantaran tersebut, Yang di-Pertuan Agong turut menekankan tentang usaha berterusan bagi meningkatkan taraf hidup warga kota.
“Sultan Ibrahim sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan rakyat serta pembangunan yang seimbang agar setiap perancangan dan pelaksanaan dasar memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat,” kata hantaran tersebut.
Sultan Ibrahim turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai Reformasi Kuala Lumpur dibentangkan oleh Hannah yang merangkumi pelbagai aspek termasuk keselamatan dan perancangan bandar.
Hadir sama dalam sesi menghadap itu ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

