SKUAD Harimau Malaya membuat persiapan awal dalam menghadapi Oman dalam usaha untuk mencipta sejarah untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan memangil pemain menyertai latihan mulai Jumaat depan.
Sehubungan itu, Ketua jurulatih Kim Pan Gon akan memanggil 33 pemain untuk menyertai kem latihan pusat dengan 21 daripada 26 pemain yang beraksi di Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu dikekalkan pada panggilan kali ini.
Kem latihan itu akan disertai pemain dari Piala Asia 2023 dan juga pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara.
Skuad kebangsaan berdepan misi penting dalam usaha mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 buat kali pertama dan mereka memerlukan keputusan positif untuk dua aksi berturut-turut menentang Oman.
Kem latihan pusat kali ini juga ‘meriah’ dengan 12 pemain baharu yang dipanggil iaitu penjaga gol, Suhaimi Husin, Azam Azmi Murad dan Safwan Mazlan dari Terengganu FC; Sharul Nazeem Zulpakar, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi, Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, Ruventhiran dan Aliff Izwan Yuslan dari Selangor FC.
Selain itu, Haqimi Azim Rosli dari KL City FC dan T Saravanan dari Sri Pahang FC turut dipanggil menyertai kem latihan pusat kali ini.
Bagaimanapun, sebahagian daripada 33 pemain ini akan melapor diri lewat pada 15 Mac dan sejurus selepas kehadiran mereka itu, beberapa pemain bawah 23 tahun (B-23) akan dilepaskan ke kem latihan pusat skuad B-23 kendalian Juan Torres Garrido.
“Kita faham pasukan-pasukan kelab sedang menjalani latihan pramusim dan pada masa sama, Kalendar Perlawanan Antarabangsa pula hanya akan bermula dari 18 hingga 26 Mac 2024.
“Namun, kita tetap perlu melakukan persediaan awal bagi menghadapi dua perlawanan menentang Oman ini. Atas sebab itu saya memulakan kem latihan pusat pada 8 Mac dengan memanggil sama beberapa pemain dari skuad B-23.
“Selepas perbincangan dengan kelab-kelab terbabit, sebahagian pemain hanya akan melapor diri pada 15 Mac kerana saya faham yang mereka baru saja kembali dari bercuti dan baru memulakan latihan bersama kelab, berbanding pemain-pemain lain yang telah lebih awal turun berlatih bersama kelab masing-masing,” kata Pan Gon.
Sebagai rekod, skuad kebangsaan akan turun beraksi untuk perlawanan ketiga Kumpulan D menentang Oman pada 21 Mac di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat sebelum terbang pulang bagi perlawanan keempat bertemu lawan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

