Tasik Edmonds terletak di Alaska, Amerika Syarikat. Sekitar tahun 2016, tasik ini pernah menjadi perhatian apabila satu video yang dimuat naik ke Youtube menunjukkan tasik ini mengeluarkan bunyi unik.
Apakah sebenarnya bunyi misteri yang dihasilkan tasik ini? Menurut rakaman yang dikongsikan oleh Cory Williams di Youtube, tasik ini mengeluarkan bunyi seakan kicauan burung. Ada juga yang mengatakan bunyinya seakan sama seperti bunyi senjata laser dalam filem Starwars.
Williams secara tidak sengaja mengetahui bunyi ini apabila dia dan rakannya bersiar-siar di kawasan berkenaan. Setibanya di Tasik Edmonds, Williams mengutip seketul batu sebelum melakukan balingan ke arah tasik yang ketika dalam keadaan beku kerana musim sejuk.
Ketika itulah mereka mendengar bunyi kicauan burung dengan jelas sebelum sayup-sayup menghilang. Williams yang melakukan balingan tersebut terkejut kerana tidak menyangka bunyi unik itu datang dari tasik tersebut. Rakannya yang pada waktu itu sedang melakukan rakaman video turut teruja dengan situasi berkenaan.
Situasi itu tidak terhenti di situ. Williams sekali lagi mengutip beberapa ketul batu berlainan saiz untuk dibaling ke arah tasik. Tujuannya untuk memastikan tasik itu masih mengeluarkan nada yang sama atau tidak. Mengejutkan, danau itu kekal menghasilkan bunyi unik seperti sebelumnya. Manakala batu yang dilontarkan berselerak pada permukaan tasik sebelum ada di antaranya tenggelam akibat ais pecah.


Sebenarnya, bunyi seumpama sinaran senjata laser dalam filem Starwars itu terhasil apabila ketulan batu dilempar ke permukaan tasik beku. Begitu pun, hanya lapisan atas tasik yang mengalami pembekuan pada ketebalan tertentu. Sementara lapisan di bawah masih dalam bentuk cecair iaitu air.
Lapisan ais ini akan bergetar apabila terkena ketulan batu. Ia diumpamakan seperti permukaan gendang yang dipukul dengan palu. Getaran ais yang mempunyai frekuensi tinggi akan bergerak lebih laju berbanding dengan frekuensi rendah di dalam ais. Oleh sebab itu, kita akan mendengar frekuesi tinggi dahulu berbanding yang rendah. Laju bunyi dalam udara adalah sama pada mana-mana frekuensi. Frekuensi ini pula berbeza bergantung pada ketebalan air yang membeku.
Menurut pengkaji, bunyi sedemikian tidak akan terhasil jika tasik tidak berada dalam keadaan beku. Hal ini disebabkan oleh bunyi unik yang didengari oleh Williams berpunca daripada getaran permukaan ais. Jadi, jika permukaan air berada dalam keadaan cair, maka tiada bunyi yang terhasil. Hal ini berbeza dengan bunyi akibat lontaran batu ke dalam air dengan frekuensi yang terjana tidak sama.
Berkaitan faktor yang menentukan bentuk bunyi dari tasik, frekuensi yang terhasil dipengaruhi oleh ketebalan lapisan ais dan kandungan mineral dalam ais itu sendiri.
Dalam pada itu, ketebalan lapisan ais boleh ditentukan dengan mengukur frekuensi yang dihasilkan dari ketukan. Jika frekuensi diukur dengan kekerapan sekitar 440Hz, tahap ketebalannya dianggap selamat. Walau bagaimanapun, jika frekuensi yang dikesan lebih tinggi, ini bermakna lapisan ais adalah nipis dan tidak selamat untuk berada di atasnya.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

