BAGI mereka yang pernah melancong ke bumi Balkan pasti mengakui Croatia antara negara yang mempunyai pemandangan alam semula jadi yang cukup mempesonakan.

Salah satu keajaiban alam di negara ini ialah Tasik Plitvice yang dikatakan antara tasik terindah di atas muka bumi. Nama Plitvice pertama kali disebut dalam dokumen bertulis tahun 1777 oleh seorang mubaligh Kristian, Dominik Vukasovic.

Taman Negara Tasik Plitvice yang terletak bersempadan dengan negara Bosnia & Herzegovina ini dikelilingi oleh tiga buah gunung dan tebing-tebing yang sangat unik, menjadikan pemandangannya sukar digambarkan dengan kata-kata.

Airnya berwarna hijau kebiru-biruan. Namun, warnanya akan berubah bergantung pada musim dan sumber mineral yang terdapat di dalamnya. Sekejap berwarna hijau atau kebiru-biruan, pada musim tertentu ia akan berubah menjadi kelabu.

Tasik Plitvice di Croatia.
Tasik ini merupakan antara tasik tercantik di dunia.

Tasik Plitvice merupakan gabungan daripada 16 buah tasik yang terdapat dalam taman negara ini. Ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu tasik atas dan tasik bawah. Punca utama air tasik ini ialah dari sungai yang mengalir melalui gunung dan sungai bawah tanah.

Air dari tasik atas akan mengalir ke tasik bawah dan membentuk air terjun yang memukau pandangan mata. Tapi, air terjun ini tidak tetap dan laluannya boleh berubah-ubah, bergantung pada kapasiti air di tasik atas.

Pelancong yang datang ke sini tidak dibenarkan untuk bermandi-manda. Ada dua sebab kenapa tak boleh mandi di sini. Pertama, untuk menjaga kelangsungan alam sekitar. Kedua, jika lemas nanti mayat susah nak jumpa sebab tasiknya terlalu luas dan pergerakan airnya yang berubah-ubah.

Pelancong tidak dibenarkan mandi di sini. Jika lemas, sukar untuk mencari mayat di kawasan Taman Negara yang luas ini.

Taman Negara Tasik Plitvice ini merupakan pusat pelancongan semula jadi tertua di Eropah. Sejak abad ke-19 lagi, tasik ini sudah menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Hotel pertama yang dibina di sini ialah pada tahun 1896.

Pada tahun 1949, pemerintah Yugoslavia telah mewartakannya sebagai Taman Negara Tasik Plitvice. Kemudian, pihak UNESCO pula mewartakannya sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1979 kerana keindahan alamnya yang luar biasa.

Namun, pada bulan Mac 1991, lokasi ini telah menjadi tempat konfrontasi bersenjata apabila etnik Croats telah menuntut kemerdekaan daripada pemerintah Yugoslavia. Selama konfrontasi itu berlangsung, berlaku kerosakan terhadap alam semula jadi di taman negara ini.

Akhirnya pada bulan Ogos tahun 1995, pihak pemerintah Croatia berjaya merebut kembali hak ke atas taman negara ini selepas berakhirnya konfrontasi berkenaan. Ia juga merupakan titik berakhirnya peperangan di antara tiga etnik utama iaitu Croat, Bosniak dan Serb.

Pernah berlaku kerosakan pada kawasan tasik ini angkara peperangan.

Asal Usul Nama Tasik

Luas keseluruhan tasik ini mencapai 300 kilometer persegi. Ada 12 tasik di bahagian atas, manakala empat lagi di bahagian bawah. Tasik paling tinggi berada pada paras berketinggian 636 meter. Veliki Slap merupakan air terjun paling tinggi di Tasik Plitvice yang mencapai ketinggian 70 meter.

Setiap 16 tasik yang membentuk Tasik Plitvice ini mempunyai legendanya yang tersendiri. Antara yang paling popular ialah tasik yang terletak paling tinggi, Prošćansko Jezero. Ia diberikan sempena nama seorang perempuan sihir yang telah dibunuh dan jasadnya telah ditenggelamkan di dasar tasik.

Setiap tasik di sini mempunyai kisah legenda tersendiri yang memberi nama kepada tasik-tasik tersebut.

Tasik kedua dikenali sebagai Ciginovac, diambil sempena nama seorang lelaki gipsi yang mati lemas ketika memancing. Nama tasik Batinovac pula diambil sempena nama seorang wanita tua yang mati lemas, manakala tasik Galovic diambil sempena nama seorang penjenayah, Kapten Gal yang telah ditembak mati dan jatuh ke dalam tasik.

Sabar, ada lagi yang mati lemas. Tasik Milino Jezero diberikan sempena nama seorang lelaki yang mati lemas, Mile Maric. Satu lagi legenda yang mati lemas di sini ialah lelaki bernama Novakovic yang mati bersama kudanya ketika melintasi tasik. Akhirnya tasik tersebut diberikan nama Novakovic brod.

Tasik Kozjak pula diberikan nama sempena peristiwa 30 ekor kambing yang melarikan diri daripada serigala. Kambing-kambing ini dikatakan merentasi permukaan tasik yang beku, tetapi akhirnya ais berkenaan retak, dan kambing-kambing berkenaan jatuh ke dalam tasik dan mati.

Kesimpulannya, nama-nama tasik di sini diambil dari pelbagai insiden mati lemas.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com