PELAKON Beto Kusyairy tidak mengambil masa lama untuk bersetuju menerima pelawaan penyanyi Amir Jahari bagi menjadi ‘cameo’ di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung malam, semalam.
Beto atau Nur Kusyairy Zakuan Osman,44, memaklumkan, dia berbesar hati ‘menghidupkan’ persembahan Amir menerusi lagu Hasrat.
“Hasrat masuk final? Untuk kau, besar hati aku Amir. Subhanallah… Aku tak tahu secara terperinci apa yang dia tempuh sebelum dan sepanjang bergelar seniman.
“Tapi aku tahu perjalanan yang dia lalu, tidak semua mampu lalu dan pikul. Dan istimewanya, dia bertahan walau dalam kepayahan.
“Sesuatu yang tragis berlaku dalam hidup ada sebabnya, itu adalah rahsia Allah dan Dia Maha Adil,” tulis Beto menerusi hantaran di Instagram miliknya.
Beto membuat penampilan istimewa bersama Diana Danielle di penghujung persembahan seperti dalam babak filem Imaginur yang menggunakan lagu Hasrat sebagai runut bunyi.
Pada masa sama, Beto turut meluahkan perasaan kagum terhadap usaha dan semangat Amir yang tidak pernah putus asa sepanjang bergelar penghibur.
“Syabas dan tahniah Amir. Kau dan keluarga adalah termasuk dalam orang-orang yang baik.
“Terima kasih kerana tidak putus semangat. Aku percaya kau akan tetap seperti sekarang… Tunduk dan merendah walau sedang dalam kemasyhuran. Syukur Alhamdulillah… Hasrat juara di hati semua!,” katanya.
Kemenangan itu turut melayakkan Amir membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi.
Manakala naib juara AJL 38 menjadi milik lagu Sutera nyanyian dan ciptaan Aisha Retno dan MFMF. Mereka membawa pulang wang tunai RM50,000 dan trofi.
Menduduki tempat ketiga lagu Jangan Mati Rasa Itu nyanyian dan ciptaan Aina Abdul. Aina menerima wang tunai RM30,000 dan trofi.

