USAHAWAN produk kecantikan Datuk Seri Seri Alha Alfa bersama-sama pelakon terkenal, Zara Zya tampil romantis bersama menerusi lagu Cinta Agung hasil ciptaan Yuka Kharisma, Senna dan Daniesh Sufian.
Single tersebut yang dilancarkan kira-kira dua bulan lalu sudah pun merekodkan lebih 110,000 tontonan di YouTube.
“Syukur atas sambutan yang amat baik oleh pendengar, rata-rata memberikan komen yang positif kerana mereka sukakan karya daripada kami berdua yang bukannya daripada kalangan penyanyi profesional.
“Tetapi saya yakin lagu ini mampu memberi ketenangan dan semangat buat halwa telinga orang yang mendengarnya.
“Di antara komen yang saya terima adalah lagu ini memberi pengajaran serta semangat, terutama buat mereka yang berada dalam perhubungan untuk menyayangi serta mencintai seseorang bahawa tiada kesempurnaan dalam percintaan,” katanya.
Selain single, Alha juga aktif menceburkan diri dalam bidang seni seperti nyanyian, sekadar ingin mencuba nasib.
Dia sememangnya mempunyai bakat seni yang semula jadi, dan lagu ini mempunyai maksud yang istimewa buat dirinya sendiri.
“Dalam hidup pasti akan ada orang lain yang menyayangi kita dalam diam dan tiada cinta yang sempurna melainkan cinta yang Maha Agung.
“Cinta saya kepada Zara Zya hanyalah sebagai sahabat baik kerana kami mengenali hati budi masing-masing selain menghargai bakat yang dikurniakan oleh Tuhan.
“Lagu ini akan kami simpan sebagai kenangan untuk masa depan kami berdua, dan mungkin dengan cara ini kami lebih menghargai hubungan persaudaraan ini,” ujarnya.
Cinta Agung boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala video muzik single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Alha Alfa.

