Tragedi melempar syaitan, legenda bujang 9 bertukar ikan di Danau Maninjau

Dari Penulis

Danau Maninjau merupakan sebuah tasik di Sumatera Barat, Indonesia. Ramai pelancong datang ke sini untuk menikmati keindahan alam semulajadinya. Di sini juga tempat kelahiran ulama dan penulis tersohor, Hamka.

Media tempatan di sana pernah melaporkan pada Februari 2016, sewaktu rakyat Malaysia terdedah dengan suhu panas melampau akibat fenomena El Nino, tiba-tiba 30 tan ikan di Danau Maninjau mati bergelimpangan secara mendadak.

Kami teringat sewaktu menyertai rombongan melancong ke sini beberapa tahun lalu, salah seorang pengemudi kami yang dipanggil Rizki memandang ke langit sambil mengerutkan muka.

Memang hari itu, sepanjang perjalanan dari Bukit Tinggi menuju ke danau ini, langit bermenung durja.  Sangka kami, itu mungkin perkara biasa tetapi bagi Rizki, itu satu petanda malapetaka bakal melanda.

Danau Maninjau.

Semasa di sebuah persimpangan, dia bersuara. Katanya, kalau cuaca begini dua tiga hari lagi, pasti akan berlaku tragedi melempar syaitan di Danau Maninjau. Tertarik dengan cerita itu, terus kami bertanyakan apa makna di sebaliknya.

Jawab Rizki, di danau ini setiap tahun, akan berlaku sebuah tragedi di mana ikan tasik akan mati serentak secara tiba-tiba. Masyarakat zaman dulu kala memanggilnya sebagai kejadian ‘melempar syaitan’.

Biasanya sebelum kejadian ini melanda, langit akan mendung sambil diikuti dengan hujan tanpa henti selama beberapa hari. Kemudian secara tiba-tiba, air tasik akan bertukar menjadi hitam sebelum semua ikan mati serentak.

Sementara itu, menurut seorang penduduk tempatan yang kami temui bernama Pak Darwis, masyarakat tempatan percaya kejadian ini adalah legasi sumpahan Bujang Sembilan.

Menurut kisahnya, pada zaman dahulu ada 10 orang anak yatim tinggal bersama bapa saudara yang bernama Datuk Limbatang. Dalam 10 bersaudara ini, sembilan daripadanya lelaki dan seorang perempuan. Si perempuan bernama Sani dan abang yang sulung bernama Kukuban. Masyarakat tempatan memanggil Kukuban sembilan bersaudara sebagai Bujang Sembilan.

Datuk Limbatang pula mempunyai seorang anak lelaki bernama Giran. Kisahnya bermula apabila Giran jatuh hati dengan Sani. Kebetulan Datuk Limbatang memang berhasrat mahu mengahwinkan mereka.

Namun, keputusan itu tidak disenangi Kukuban. Dia membantah dan marah. Puncanya adalah disebabkan dia pernah ditewaskan Giran dalam sebuah pertandingan silat.

Lantaran itu, berlaku sedikit ketegangan dalam keluarga ini. Demi menjaga hati semua pihak, Sani terpaksa memendam rasa dan mengambil keputusan untuk menyembunyikan hasratnya dengan Giran. Meskipun begitu, si abang mengesyaki sesuatu lalu mengintip pergerakan adiknya.

Kebetulan, Giran dan Sani telah bertemu di satu tempat. Disebabkan rasa marah yang melampau, Kukuban terus menuduh mereka melakukan perbuatan yang terlarang. Keadaan itu menimbulkan fitnah dan mereka ditangkap oleh orang ramai kerana menyangka telah berlaku onar yang merosakkan adat.

Sebagai hukuman, Giran dan Sani perlu dihumban ke kawah gunung berapi Sitinjau. Demi membuktikan kesucian dan kebenaran, dua kekasih ini bersumpah. Sekiranya mereka benar dan tidak bersalah, jasad mereka hancur dan Bujang Sembilan disumpah menjadi ikan.

Sejurus kemudian, gunung berapi ini meletus lalu memuntahkan lahar dan terbentuklah Danau Maninjau. Terbukti pasangan kekasih itu tidak bersalah. Berubahlah Bujang Sembilan sebagai ikan dan tinggal di tasik itu.

Selepas kejadian itu, dikatakan setiap tahun berlaku kejadian ikan mati secara tiba-tiba di kawasan ini. Kebetulan, di suatu masa, fenomena ini kerap terjadi sewaktu musim haji dan penduduk tempatan menggelar kejadian ini sebagai tragedi melempar syaitan.

Dikatakan saban tahun akan berlaku fenomena ikan mati di tasik ini.

Di Sebalik Misteri Ikan Mati

Sebenarnya, kisah legenda ini bukanlah segala-galanya. Ada penjelasan saintifik mengenai perkara ini. Meskipun resapan kepercayaan tradisi dengan legenda setempat lebih kepada kuasa supernature, namun jauh dari itu tentu ada penjelasan kukuh tentang tasik yang terbentuk pada ketinggian 461.5 meter daripada aras laut ini berkeadaan begitu.

Sebenarnya, rata-rata pengkaji sepakat bahawa perubahan cuaca dengan kelajuan angin menjadi punca kejadian ini. Berdasarkan kajian sains, ikan-ikan di danau ini mati mendadak akibat kekurangan oksigen.

Hasil kajian pada ikan yang mati menunjukkan, ia lemas dan mengalami kejutan. Soalnya, bagaimana oksigen boleh kurang? Bukankah hawa udara di sini sangat baik. Airnya juga dingin dan tentu sekali tidak logik jika dikatakan air tasik mengalami kekurangan oksigen?

Berdasarkan penelitian yang dibuat, kesimpulan yang dirumuskan menunjukkan bahawa kedudukan geografi tasik ini boleh menyebabkan kekurangan oksigen pada air. Ia berlaku apabila angin yang bertiup pada kelajuan 40 hingga 60 kilometer sejam selama beberapa hari.

Pada kelajuan begitu, ia akan mempengaruhi cuaca di kawasan tanah tinggi. Pada kelajuan angin sebegitu, ia amat kencang lalu menyebabkan berlaku arus pada air tasik.

Arus yang terbentuk ini akan membawa gas sulfida dalam danau naik ke permukaan air lalu menutup permukaan oksigen daripada masuk ke dalam tasik. Ini yang menyebabkan keadaan lemas berlaku. Itu sebabnya, apabila angin bertiup pada kelajuan kencang begini, air danau menjadi hitam.

Sesuatu yang perlu kita faham dalam situasi ini adalah pembentukan tasik ini berlaku akibat letupan gunung berapi. Jadi sisa-sisa gas sulfida boleh meracunkan air tasik ini.

Danau Maninjau.

Berdasarkan pemerhatian lapangan yang dibuat menunjukkan, kebanyakan ikan yang mati ini terdiri daripada ikan sangkar yang diusahakan penduduk tempatan. Laporan media menggambarkan ia satu bencana apabila jumlah ikan yang mati dianggarkan mencecah sehingga 30 tan.

Para pengusaha ikan sangkar ini bukan saja kerugian tetapi juga mengalami kepayahan untuk membersihkan bangkai ikan ini. Setiap tahun, apabila badai cuaca ekstrem melanda Maninjau, sekurang-kurangnya pada kedalaman 15 meter di bawah permukaan air tidak mempunyai oksigen. Bagaimanapun paras ketiadaan oksigen ini berubah mengikut dampak daripada masa ke semasa.

Meskipun begitu, kajian yang dilakukan oleh Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) menunjukkan, faktor manusia masih menjadi sebab utama kesan ini menjadi ketara.

Antara yang dikesan adalah jumlah sangkar yang melebihi keperluan selain jarak dan saiz sangkar yang tidak mematuhi standard keperluan oksigen semasa tragedi.

Berdasarkan kajian yang dibuat, Danau Maninjau hanya mampu menerima enam ribu petak sangkar sahaja. Namun maklumat yang diberikan oleh berita atas talian, Tempo.co menjelaskan, di danau ini terdapat 18 ribu petak sangkar.

Menurut pengkaji daripada LIPI, Agus Hamdani, pengusaha sangkar juga gemar memasukkan jumlah ikan yang banyak dalam sesebuah petak. Kajian menunjukkan, hanya 300 ekor ikan saja disarankan untuk sesebuah petak. Namun penternak memasukkan antara 10 hingga 15 ribu ekor ikan dalam sesebuah petak.  Keadaan ini salah satu penyebab penternak berdepan dengan kerugian yang besar apabila tragedi seumpama ini melanda.

Sikap penternak yang memasukkan jumlah ikan terlalu banyak daripada yang disarankan juga menjadi penyebab mereka kerugian besar apabila tragedi ini melanda.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Dulu mewah di Malaysia, kini rendam rumput kering dalam air… Nasib Dara, Amoi dan Kelat mengundang sebak

Ada sesuatu yang meruntun hati apabila melihat seekor gajah berdiri di tepi kolam, perlahan-lahan merendam rumput kering ke dalam...

More Articles Like This