Siri 1: Rupanya ugutan terhadap ibu adalah doa yang termakbul

Dari Penulis

“Arghh..rugi bila masuk Islam. Ini tak boleh, itu tak boleh. Minum arak? Berjudi? Ahhh..semua tak boleh, memang rugilah kalau masuk Islam.  

“Entah apa hebatnya Islam jika banyak benda tak boleh buat? Kalau dibuat juga, pasti balasan azab yang diterima. Tidak sebagaimana agama yang saya anuti, Kristian, sentiasa memberikan kebebasan  kepada  penganutnya untuk melakukan apa sahaja. Yang penting ada agama  untuk dipegang”. 

“Dalam Islam, banyak sangat peraturannya. Bagaikan hidup dikongkong setiap waktu. Tidak bebas untuk melakukan apa yang kita suka. Namun untuk membenci Islam, tidak sama sekali. 

“Perasaan itu tidak pernah wujud. Cuma saya tidak selesa apabila perkara-perkara yang saya suka buat itulah yang dilarang dalam Islam. Dan kerana itulah, ada kalanya saya memperlekehkan kawan-kawan saya yang mula berjinak-jinak dengan Islam. Untuk saya mengikutinya, ah! mungkin tidak…”

 Mula terpaut dengan Islam

Saya mula mengenali Islam pada awalnya secara asas sahaja. Apa yang saya tahu dalam Islam hanya perlu solat dan berpuasa selama sebulan. Pemahaman tentang Islam ketika itu sangat cetek. Ini kerana, dari tadika hinggalah peringkat menengah saya hanya bersekolah di gereja.

Namun begitu, segalanya berubah apabila saya ditawarkan bekerja di semenanjung Malaysia pada tahun 2006. Saya ditempatkan bersama rakan-rakan yang beragama Islam. Bermula dari situ, saya telah mula berpuasa kerana terikut-ikut dengan rakan-rakan yang beragama Islam dan ia juga merupakan salah satu cara saya menghormati mereka.

Mula puasa kerana terikut dengan rakan muslim

Bila kawan-kawan bangun sahur, mereka kejutkan saya untuk sahur bersama-sama. Bila pulang dari kerja, saya malu untuk makan, jadi saya turut sama berpuasa bersama mereka. Malangnya, saya hanya berpuasa tetapi belum merasai nikmatnya.

Masa terus berlalu, sehinggalah saya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan gadis pilihan beragama Kristian. Namun, niat saya dihalang keras oleh ibu dengan anggapan saya masih mentah untuk melayari alam perkahwinan.

Diamuk dengan rasa kecewa, saya mengugut ibu andai tidak membenarkan saya mengahwini gadis tersebut, saya tidak teragak-agak untuk mengahwini gadis beragama Islam suatu hari nanti. Tapi, ugutan saya langsung tidak diendahkan oleh ibu.

Ternyata sebaliknya, ugutan saya terhadap ibu ibarat satu doa yang dimakbulkan. Saat itu, saya mengenali seorang wanita, Anita (bukan nama sebenar) di satu tempat kerja. Perkenalan saya dengannya membuka satu lembaran baru dalam hidup saya.

Dia mengajar saya erti Islam yang sebenar dan banyak memberi tunjuk ajar. Dari situlah, saya mula mempelajari dengan membeli buku-buku bagi menambahkan pengetahuan saya tentang Islam.

Entah mengapa, makin hari, pandangan saya tentang Kristian sekaligus berubah 360 darjah. Terdetik di hati, rupa-rupanya Islam yang saya cari selama ini. Menerusi rakan-rakan, saya terus mempelajari Islam dengan bersembahyang dan mengaji. Sedikit demi sedikit saya menyedari Islam sangat indah sama ada daripada sudut agama mahupun kehidupan seharian. 

Namun, saya tidak pernah memberitahu keluarga yang saya mempelajari dan mendalami Islam. Walaupun, pada saat itu saya sudah mulai mengakui dan menerima kebenaran Islam. Alhamdulillah saya mula mendapat jawapan selepas mendapat petunjuk menerusi mimpi. Tanpa menoleh ke belakang saya terus memeluk Islam. Ketenangan yang saya peroleh tidak pernah saya rasai sebelum ini.

Mimpi merubah segalanya

Peristiwa itu masih segar dalam ingatan walaupun ia mungkin sekadar cerita dongeng bagi mereka yang memperlekehkan akan kebenaran mimpi tersebut. Sejauh mana kebenaran yang ada dalam mimpi, hanya Allah yang tahu. Pengalaman mimpi indah selama dua kali sangat meyakinkan bahawa keputusan saya untuk berhijrah memeluk Islam adalah tepat.

Pada suatu malam, sebelum umat Islam mempersiapkan diri pada bulan Ramadhan. Saya termenung memikirkan sesuatu, saat itu saya niat di dalam hati, walhal saya tidak tahu kepada siapa saya tujukan niat itu. Saya hanya mahukan petunjuk, apakah tindakan saya selama ini mendalami Islam adalah benar? Atau hanya sekadar suka-suka?

Mimpi solat membuka hati memeluk Islam

Kemudian saya tertidur dan bermimpi saya berada di satu kawasan masjid yang lapang. Jelas, saya melihat kubah masjid tersergam indah. Di sekeliling saya di penuhi dengan tulisan Al-Quran yang tidak saya fahami maksudnya, manakala saya terbaring di kawasan tersebut.

Anehnya, saya merasa terlalu tenang saat itu. Pabila saya terjaga dari tidur, badan saya menggigil, ligat saya memikirkan apakah itu petandanya?

Namun saya berdoa, jika mimpi itu adalah benar, berilah petunjuk lagi kepada saya. Ternyata malam berikutnya saya bermimpi lagi. Dan di dalam mimpi tersebut, saya baru pulang dari kerja terus pergi ke masjid untuk solat. Kemudian saya terjaga, hanya sekejap, tapi amat meyakinkan. Sejenak saya memikirkan apa yang patut saya lakukan? Kepada siapa saya patut mengadu?.

Perasaan saya berkecamuk, adakah benar tindakan saya kelak? Apa yang akan terjadi selepas ini? Bagaimana dengan keluarga? Pasti mereka terkejut besar. Serba-serbi yang dibuat bagai ada yang tidak kena. Macam-macam berlegar di fikiran.

Akhirnya saya nekad berjumpa dengan ustaz Nik, rakan sekerja. Saya ceritakan kepadanya perihal mimpi saya satu persatu tanpa ada yang tertinggal sedikit pun. Saya lihat dia tidak terkejut malah tersenyum memandang saya.

Matanya berkaca-kaca tanda kegembiraan. Tanpa berlengah, saya dibawa berjumpa dengan ustaz Shafie. Dengannya, saya diajar mengucap. “Asyhadu alla ilaaha illallah wa asyhadu anna muhammadar Rasulullah…

Sejurus habis mengucap dua kalimah syahadah, bagaikan ada sesuatu diturunkan Allah pada saya. Allah cabut segala kerisauan, kekusutan dan kebimbangan daripada hati dan fikiran saya. Fikiran saya jadi lapang, hati saya terlalu tenang, satu perasaan yang tidak pernah saya rasakan sebelum itu. Saya dapat rasakan seperti masuk ke dunia baru. Jika sebelum ini, jiwa saya seakan-akan kosong dan tidak ada arah tuju, kini hilang segala masalah yang membelenggu

Saya akui inilah cinta dan hidayah Allah pada saya, telah termaktub, 15 Ogos 2010 yakni hari kelima umat Islam berpuasa, saya bergelar seorang  muslim. Kini nama saya Muhammad Iman Firdaus bukan lagi Frederick Joseph Lee. Bersambung…

__________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fahami perbezaan hadis daif, palsu dalam beramal di era digital

Oleh Mohd Shahrizal Faizal Mahasiswa Tahun 3 di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. PERKEMBANGAN media sosial pada...

More Articles Like This