Tilmiz Amnan, 23, dinobatkan sebagai juara Akademi Qurra’ 2024 dan melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000.
Amnan atau nama sebenarnya Muhammad Amnan Muhammad Sani menyatakan kesyukuran di atas kemenangan yang direzeki menjadi miliknya walaupun mengakui tertekan sepanjang berada di Akademi Qurra sehingga menganggu prestasi.
“Saya tidak menjangkakan kemenangan kerana tahu ada beberapa kesilapan yang dilakukan. Namun kami berlima terima apa sahaja keputusannya kerana niat utama ialah kami ingin belajar dan ia adalah usaha dakwah kecil kami. Antara cabarannya ialah saya kerap tidak sihat dan mungkin juga kerana tertekan untuk membuat persembahan terbaik,” katanya kepada media.
Menurut Murobbi, Ustaz Tirmizi Ali, Tebuk Taranum memberikan satu kelainan pada pentas akhir dan hampir keseluruhan peserta tidak mampu menjawab soalan dengan tepat.
“Seperti yang dikatakan lagenda Qari, Ustaz Haji Che Yahya Daud, Tebuk Taranum memberikan cabaran yang cukup sengit kerana peserta perlu mengingati asas dan irama bunyi sesuatu lagu dan pada tingkatan suara yang tidak biasa dimulakan. Dan pusingan ini yang membezakan markah antara peserta,” jelasnya pada sidang media di Studio Pusat Penyiaran TV AlHijrah, di sini, malam tadi.
Malah jelas juri tetap, Ustazah Sharifah Khasif, rata-rata pelajar terlalu memberikan fokus kepada taranum sehingga banyak melakukan kesalahan pada tajwid.
“Markah antara pemenang tidak banyak berbeza, malah ada yang berbeza hanya satu dan perpuluhan Sahaja. Namun asasnya, mereka tidak boleh melakukan kesalahan. Walaupun nampak mudah, namun terlalu ramai yang memberi fokus kepada taranum sehingga tidak perasan kesalahan tajwid. Sebenarnya perkara utama adalah tajwid, lagu hanyalah bonus,” katanya.
Sementara itu, Tilmizah Syahira atau Nur Syahira Saiful Adli menduduki tempat kedua yang membawa pulang RM10,000 manakala Tilmizah Sofea mendapat tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM5,000
Pentas akhir Akademi Qurra’ 2024 menyaksikan Tilmiz Luqman dan Tilmizah Sholihah sekadar meraih hadiah sagu hati dengan masing-masing membawa pulang RM1,000.
Dalam pada itu, Mudarrisah Nadia Hashim selaku tenaga pengajar memenangi Anugerah Mudarris Terbaik sekali gus mendapat hadiah wang tunai RM3,000.
Bagi Anugerah Alunan Terindah pula diberikan kepada Tilmizah Syahira dan memenangi hadiah wang tunai RM500.
Dihoskan oleh Raqib Majid, Akademi Qurra 2024 turut menampilkan Mudarris Ammar Mukhlis, Mudarrisah Suhailah Zulkifly dan Mudarrisah Nadia Hashim yang bertindak selaku tenaga pengajar.
Program yang ditayangkan pada setiap Sabtu jam 9 malam itu menampilkan juri tetap Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dan Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim.

