USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri bersyukur kerana diberikan peluang dan rezeki untuk bertemu semula dengan bapanya selepas terpisah 30 tahun lalu.
Menyifatkan pertemuan pada Januari lalu itu sebagai kurniaan besar dalam hidup, Thalia berazam untuk berbakti kepada sosok lelaki yang disayangi dalam hidupnya.
“Alhamdulillah Ramadan kali ini saya dapat cium tangan papa dan jumpa dia sebelum kita berpuasa.
“Bagi saya sebagai anak sementara kita ada peluang lebih baik jangan buang masa dan gunakan sebaik mungkin,” katanya yang mesra disapa Bunda Lia.
Pertemuan dengan bapanya itu turut ditemani adik perempuannya iaitu Dayana.
Malah, menerusi perkongsian di TikTok miliknya, rata-rata pengikut memberikan respon yang sangat baik.
Sementara itu, Thalia tidak langsung menyimpan dendam atas apa yang berlaku dan meskipun terpisah lebih 30 tahun sebaliknya menganggap ia takdir yang tertulis.
Wanita ini melahirkan rasa syukur kerana masih diberi peluang berjumpa dengan figura seorang bapa di saat masing-masing masih bernyawa.
“Tidak perlu ada rasa dendam apa yang berlaku biarkan berlalu, kita anak-anak kena berusaha berbakti kepada orang tua kita.
“Bila jumpa papa, nampak senyuman papa juga sudah buat hati saya lega dan tenang,” katanya yang mengusahakan perniagaan produk kecantikan Dolly Milk dan fesyen jenama Talia.
Netizen turut bersetuju dengan Thalia dan memuji tindakannya memuliakan bapa meskipun terpisah lama.
Antara komen mereka termasuk bersetuju setiap yang berlaku pasti ada hikmah tersembunyi.

“Ustaz cakap mak ayah tak pernah salah walaupun buruk macam mana! Nangis weh dengar,” kata Rawrr.
Mydinda pula menyifatkan Thalia seorang kakak sulung contoh terbaik dan memuji tindakan buang yang keruh ambil yang jernih.
“Terbaik datin, suka hati baik datin,” katanya memuji kakak kepada Madammu itu.
Bercerita lanjut, Thalia mengakui kerap berhubung bertanyakan khabar bapanya selepas pertemuan semula Januari lalu.
Pelakon drama Cinta Dalam Hati itu yang sebelum ini pernah bergandingan bersama Remy Ishak berkata, walaupun sibuk jangan abaikan ibu bapa sementara mereka masih ada.
“Doa ibu bapa dan peluang melihat mereka adalah satu anugerah paling mahal bagi setiap anak. Jangan sia-siakan,” ungkapnya menutup bicara.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

