Pusat Beli-belah IPC dengan kolaborasi bersama rakan kongsi terkemuka, Alliance Bank, meraikan ‘hasil rekaan hijau’ 40 finalis Anugerah IPC Little Eco-Heroes yang bersemangat dan berinovatif.
Menurut Pengurus Besar IPC Shopping Centre, Karyn Lim, pihaknya sentiasa menaiktaraf sistem kitar semula dan teruja apabila menjalin kerjasama dengan Alliance Bank untuk berkongsi kesedaran terhadap alam sekitar.
“Sejak hari pertama kami beroperasi 20 tahun yang lalu, IPC Shopping Centre sentiasa menitikberatkan tentang hidup secara mampan dan berbakti kepada bumi kita. Selain daripada menjadikan amalan menjaga kehijauan dalam operasi harian, kami berazam untuk memberi inspirasi dan memberi peluang kepada masyarakat di sekitar kami untuk menjalankan tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar.

“Kami telah menaik taraf Recycling & Buy-Back Centre (RBBC) pada tahun 2022 dan memperkenalkan stesen pengecasan EV kami pada tahun lepas untuk memudahkan para pengunjung kami membuat pilihan yang mesra alam. Apabila kita beramai-ramai menjalankan peranan masing-masing, hasilnya memang cukup menakjubkan. Atas sebab inilah kami gembira untuk bekerjasama dengan Alliance Bank yang berkongsi kesedaran yang sama bagi mencapai kelestarian dengan inisiatif seperti Anugerah Little Eco-Heroes.
Ianya sangat menerujakan bila melihat kanak-kanak dan remaja berganding bahu untuk membuat perubahan ke atas kelestarian sejagat dan kesejahteraan masyarakat. Dengan menutup tirai Anugerah Little Eco-Heroes, kami berharap ia menjadi permulaan ke arah masa depan bumi yang lebih hijau,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi, Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Kumpulan Alliance Bank, Dr Aaron Sum berkata mereka teruja dapat berkhidmat kepada komuniti menerusi program ini.
“Sebagai sebuah institusi bank, tanggungjawab kami melangkaui perkhidmatan perbankan tradisional. Sejajar dengan tujuan jenama baru kami, ‘The Bank for Life’, kami berazam untuk menjadi bank yang komited berkhidmat untuk komuniti. Satu cara untuk menunjukkan komitmen Alliance Bank adalah dengan menyediakan platform seperti “Anugerah Little Eco Heroes” yang menggalakkan generasi muda untuk terlibat secara aktif dalam memberi sumbangan ke arah masyarakat yang lebih baik atau meninggalkan impak positif ke atas alam sekitar.
“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif bermakna ini, yang membolehkan kanak-kanak serta remaja menyerlahkan bakat mereka serta memberikan mereka inspirasi untuk menjadi duta kecil yang mengubah dunia,” jelasnya.

Majlis penyampaian anugerah ini mengumumkan 20 pemenang dalam kategori individu dan berkumpulan untuk sekolah rendah dan menengah. Setiap hero cilik (eco-hero) dinobatkan sebagai juara untuk ciptaan mereka yang sangat kreatif, praktikal, berinovasi, estetik serta komitmen tinggi mereka terhadap mencapai kelestarian sejagat.
Anugerah IPC Little Eco Heroes terdiri daripada 5 kategori, setiap satunya meraikan aspek ekoinovas anak muda yang berbeza. Sejak diperkenalkan pada November 2023, Anugerah IPC Little Eco-Heroes telah memperolehi 151 penyertaan kanak-kanak dan remaja yang berkobar-kobar untuk berkongsi idea inovatif dan mesra alam mereka bagi menyelesaikan isu alam sekitar. 40 daripada idea tersebut direalisasikan melalui prototaip fungsian atau tidak fungsian yang diperbuat dari bahan-bahan kitar semula atau yang boleh dikitar semula, dan kemudiannya dipamerkan di galeri yang terletak di Atrium di belakang ruang legar utama (Concourse), Tingkat G dari 1 hingga 10 Mac dan dibuka untuk undian awam.

Untuk memartabatkan majlis tersebut, pengunjung di setiap peringkat umur turut dijemput untuk berikrar menjadi Penjaga Planet (Guardians of the Planet) dan menyertai pelbagai aktiviti termasuklah Recyclable Rescuer Race, Super Recycle Bowl dan Recycling Ranger Challenge bertempat di ruang legar utama (Concourse). Pendekatan yang unik ini bukan sahaja untuk memberikan hiburan yang mendidik sepanjang cuti persekolahan malah juga menggalakkan pengunjung untuk menerokai konsep penggunaan semula dan kitar semula sisa buangan. Peserta yang berjaya mengharungi halangan yang bertemakan kelestarian juga diberi ganjaran yang menarik termasuk 100 Tack Points dan tote beg yang ditaja oleh Alliance Bank.

