Suatu pagi, terdengar bunyi dentuman yang kuat di hadapan balkoni sebuah apartmen di Kajang, Selangor. Tidak lama kemudian terdengar bunyi kucing mengiau-ngiau. Benar, seekor kucing berbulu putih dan hitam menggeletik seakan-akan mahu mati. Kucing itu terjatuh dari tingkat 11 apartmen berkenaan.
Lantas seorang wanita muda memasukkan kucing yang cedera itu ke dalam sebuah kotak. Pada firasat wanita itu habislah riwayat kucing ini. Kakinya patah riuk. Tulang punggungnya patah. Muka dan hidung berdarah. Pendek kata, si kucing putih bertompok hitam ini hanya menanti ajal.
Si wanita lantas menyapukan minyak gosok. Dia menyudu air ke mulut si kucing. Sementara menunggu-nunggu siapakah pemiliknya, si wanita muda itu membalut luka si kucing berkenaan.
Dua tiga hari kemudian datanglah seorang pemuda berambut keriting mengaku bahawa kucing tersebut miliknya lantas dibawanya naik semula ke tingkat 11. Katanya, kucing itu memang suka bertenggek di tepi tingkap yang tidak berjeriji.
Hari demi hari kucing berkenaan mula sembuh dan akhirnya cergas seperti sedia kala. Si wanita muda merasakan kucing itu amat bertuah, jatuh dari tingkat 11 tetapi masih hidup. Ajaib.

Beberapa bulan kemudian si wanita bertanyakan pemuda berambut keriting itu bagaimana keadaan si Tompok yang jadi ‘stuntcat’ dulu?
Oh, tidak! Si wanita muda tergamam, seperti tidak percaya apabila si Tompok itu sudah menemui ajal. Kenapa? Sekali lagi si wanita muda itu terkejut. Kematian si Tompok juga akibat aksi ‘stunt’ kali kedua dari tingkat 11, dari tepi tingkap.
Kali ini si Tompok bukan terjatuh di atas balkoni hadapan rumah si wanita muda di tingkat satu tetapi di atas tar menghadap masjid arah matahari tenggelam. Entah mengapalah si Tompok suka sangat melakukan aksi ‘stunt’ tiada siapa yang tahu.
Namun si wanita muda itu memberitahu dia memang mengagumi sistem keseimbangan luar biasa yang dimiliki sang kucing seperti arwah si Tompok. Keseimbangan itu disebut terminal velocity. Ketika si Tompok jatuh dari tingkat 11 dalam posisi terbalik, haiwan itu akan segera melenturkan tubuh sehingga kakinya berada di sebelah bawah dan bersiap sedia untuk mendarat.
Setelah itu si Tompok segera meregangkan kakinya sehingga angin menahan tubuhnya daripada terhempas. Dan saat menyentuh simen balkoni, kakinya dilipat bagi mengecilkan kesan akibat terhempas. Itulah keistimewaan kucing.
Ada pendapat mengatakan, si Tompok mungkin selamat jika terjatuh dari tingkat 20 berbanding tingkat 11. Alasannya kucing memerlukan waktu setara dengan tingkat lapan atau lebih untuk menyedari apa yang terjadi kepadanya untuk bertenang dan membetulkan posisinya semasa hendak mendarat.
Dipercayai, kucing mampu selamat walaupun terjatuh dari ketinggian 30 kaki. Kelenturan tubuh kucing sangat menakjubkan, kaki depannya dapat diputar ke segala arah dan setengah bahagian tubuhnya dapat bergerak ke arah yang berlawanan.
Buktinya, perhatikan semasa kucing menjilat bulunya dan terjun dari tempat tinggi, pokok dan terjun dari atap atau bumbung rumah. Kalau manusia?
Benar, tidak lama selepas tragedi itu, seorang gadis muda bertindak terjun dari tingkat empat sebuah flat berdekatan sama seperti si Tompok? Apa berlaku kepada gadis Melayu itu? Innalillah…
Sebenarnya, banyak lagi keistimewaan kucing antaranya seekor kucing jiran penulis pernah dibuang berpuluh batu ke sebuah kawasan pedalaman. Namun tidak lama kemudian si kucing tersebut mengiau-ngiau dan dapat pulang semula ke rumah tuannya dengan selamat.
Ini disebabkan ketinggian IQ kucing sukar ditandingi haiwan lain kecuali monyet dan cimpanzi.

Cuba anda kaji pula kebenaran dakwaan-dakwaan ini?
● Di Malaysia suara kucing ditulis ‘miow’. Di Indonesia, ‘meong’. Amerika Syarikat pula ‘meow’, United Kingdom ‘miaow’ manakala Jepun ‘nya’. Sedangkan bunyi sebenar kucing bergaduh ialah ‘wau’ , berebut makan ‘au’, mencari pasangan ‘ow’ dan menyapa kita ‘ek’. Cuba anda perhatikan betul-betul dan amati bunyi binatang ini.
● Kucing liar paling banyak terdapat di bandar berbanding di kampung. Puncanya, rumah-rumah di bandar tidak ada kemudahan untuk kucing keluar masuk seperti di kampung. Di kampung kucing boleh memanjat bumbung untuk keluar menjelajah mencari tikus dan pasangannya di waktu malam.
● Pada abad pertengahan kucing dianggap ada kaitan dengan ahli sihir dan sering dibunuh dengan cara dibakar dan dilempar dari tempat tinggi. Sejumlah ahli sejarah percaya bahawa wabak Black Death atau wabak hawar berjangkit tersebar dengan cepat di Eropah pada abad ke-14 akibat kepercayaan tahyul itu. Akibat kebodohan itu banyak berlaku pembunuhan kucing secara berleluasa sehingga meningkatkan populasi tikus yang disahkan membawa wabak berjangkit tersebut.
● Kucing dikenal pasti sebagai binatang paling banyak terbunuh di jalan raya di seluruh dunia berbanding manusia, monyet, anjing, biawak dan ular ketika melintas jalan. Ini disebabkan kucing akan membatukan diri dan enggan lari apabila terperangkap dalam kesibukan jalan raya.
● Mujurlah kini semakin ramai pembela kucing sukarela mengutip kucing-kucing liar di jalanan, memberi makan dan merawat kucing yang berpenyakit ini. Mereka yang membuat amal jariah inilah patut diberi pujian.
● Kucing paling takutkan lidi penyapu berbanding rotan, kayu atau plastik. Ini disebabkan bunyi lidi yang disebat amat menggerunkan sehingga kucing boleh terkencing dan terberak semasa melarikan dirinya.
● Kajian perubatan mendapati kuman yang paling banyak terdapat pada anjing, manusia 1/4 anjing manakala kucing 1/2 manusia. Kucing turut memiliki keupayaan pembersih lysozyme. Sebab itulah haiwan ini asyik menjilat bulunya sepanjang masa. Saliva atau air liur kucing adalah agen pembersih yang kuat, tapi bulunya membawa alahan kepada manusia terutama bagi penghidap asma.
● Kucing akan membersihkan dirinya dengan lidah selepas berhadapan dengan sesuatu yang berbahaya atau selepas bergaduh dengan kucing lain. Ini bertujuan untuk menenangkan dirinya.
● Nama-nama kucing di Malaysia mengikut warna bulu haiwan ini untuk memudahkan pengecaman. Kalau kucing hitam jantan disebut Hitam atau Pak Tam, si betina dipanggil Minah atau Mak Tam. Kucing berbulu putih (jantan) dipanggil Putih atau Pak Utih. Si betina dipanggil Mak Teh. Kucing berbulu bertompok digelar si Tompok.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

