Populariti Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) telah melonjakkan namanya sebagai destinasi kunjungan ramai terutama pada setiap hari minggu. Bersempena dengan bulan Ramadan, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) telah membuka ruang perniagaan kepada 100 peniaga yang menyajikan aneka jenis kuih muih, lauk pauk dan minuman sebagai pilihan juadah berbuka puasa.
Menurut Nurdita Fadzlinda, Timbalan Ketua Eksekutif (Perhubungan Korporat), beberapa penambahbaikan telah dilakukan bagi memastikan keselesaan pengunjung.
“Pada tahun lalu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) telah melantik syarikat pengurusan acara bagi mengendalikan bazar Ramadan tersebut dan berjaya menarik seramai 50,000 pengunjung. Bertitik tolak dari kejayaan tahun lalu, pada tahun ini ia dianjurkan sepenuhnya oleh PKNPk melalui Bahagian Aset dan Pentadbiran.
“PKNPk telah membuat beberapa penambahbaikan kepada kemudahan bagi memastikan keselesaan kepada para pengunjung di BSAS. Kami juga turut memastikan kebersihan makanan diutamakan dan pemilihan peniaga turut diberi perhatian rapi agar kepelbagaian dan kualiti juadah terjamin.
“Pihak kami menyediakan ruang yang lebih luas kepada peniaga dengan saiz 10 kaki x 20 kaki dengan kadar sewa antara RM1500 hingga RM2500. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri melalui Perak Sejahtera 2030 bagi memberi peluang dan galakan kepada usahawan kecil dan sederhana untuk mencari sumber pendapatan dengan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan PKNPk juga memastikan kemudahan parkir mencukupi untuk orang ramai dengan menyediakan parkir tambahan yang terletak bersebelahan Menara A PKNPk dan di kawasan Rumah Tradisional Melayu (RTM).

“Malah kemudahan tandas yang mencukupi dan surau yang selesa turut terdapat di situ. Surau untuk lelaki dan wanita yang dilengkapi dengan tempat mengambil wuduk mampu memuatkan sekitar 30 orang dalam satu masa” katanya menerusi satu kenyataan media.
Menyentuh mengenai keunikan Bazar Ramadan BSAS, Nurdita berkata bazar sepanjang 500 meter itu menyajikan pelbagai juadah yang menarik.
“Tahun ini BSAS mencuri tumpuan sebagai bazar ramadan yang terpanjang di Perak iaitu sejauh 500-meter. Menu menarik yang terdapat di sini seperti Royal Popiah Kuala Kangsar, Air Tembikai Sarbat, Nasi Ayam Taugeh Las Vegas, Sloopyan Hot Dog, Ayam Goreng Kamiez, Bihun Sup Kedah, Nasi Vanggey adalah antara juadah yang popular dikalangan pembeli.
“BSAS juga merupakan lokasi pilihan kepada trend berbuka gaya berkelah dalam kalangan orang ramai setiap tahun. Malah, trend berbuka secara santai ini telah menjadi tular pada tahun lalu. Adalah menjadi harapan kami untuk menganjurkan bazar Ramadan yang mesra pengunjung dan terbesar di Perak suatu hari nanti serta sentiasa memastikan Bulatan Sultan Azlan Shah lebih selesa untuk kegunaan pengunjung,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Bulatan Sultan Azlan Shah turut menyajikan aktiviti dan permainan seperti paddlers, go-kart dan soopa doopa yang akan beroperasi seperti biasa di sepanjang bulan Ramadan. Bagi penggemar kopi, Bean Here Coffee – jenama kopi keluaran tempatan di bawah kumpulan PKNPk turut beroperasi di BSAS sepanjang bulan Ramadan ini. Bazar ini beroperasi dari jam 3.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari bermula 12 Mac hingga 9 April 2024.

