Empat tahun mewarnai industri fesyen tanah air, jenama terkenal, RR by Rizman Ruzaini bakal menemui titik noktah apabila pemilik jenama ini mengambil keputusan menjadikan 2024 sebagai koleksi terakhir mereka.
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan jenama fesyen berkenaan, Rizman Nordin berkata, jenama Rizman Ruzaini semakin mekar di peringkat antarabangsa dan bakal digayakan beberapa selebriti terkenal luar negara dan atas sebab itu, mereka mahu memberi sepenuh fokus membina nama dan mengharumkan nama Malaysia.

“Sebenarnya sangat sukar untuk kami membuat keputusan ini. Permintaan di Dubai sangat memberangsangkan, malah ramai selebriti antarabangsa yang meminta untuk menggayakan baju kami. Matlamat kami mahu mengharumkan nama Malaysia di mata dunia dan sebab itu kami tidak boleh tumpukan dua perkara dalam satu masa kerana risau akan hilang fokus.
“Sebenarnya saya sendiri pun termenung juga apabila mengambil keputusan, mamun kami percaya ini adalah langkah yang baik untuk RR. Banyak kenangan untuk koleksi ini terutamanya pada musim pandemik. RR tetap akan dipertimbangkan cuma tiada koleksi baru bagi RR.
“Bagi kami, koleksi RR yang dikeluarkan selama empat tahun ini bersifat timeless. Orang nak pakai setiap tahun pun tiada masalah kerana rekaan dan kualitinya.
“Ini bukan keputusan yang mudah, namun kami perlu memilih mana yang akan memberi impak yang besar. Kami juga sangat menghargai sokongan peminat yang selama ini bersama RR dan jangan lupa dapatkan koleksi RR kerana ini adalah yang terakhir,” jelas Rizman ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini di Rumah Tangsi baru-baru ini.

Bakal mengembangkan sayap ke peringkat yang lebih besar, Rizman tidak mampu menyembunyikan keterujaan apabila busana rekaan mereka akan digayakan bintang Hollywood terkenal, malah tawaran mengadakan pertunjukan fesyen di Paris dan Dubai adalah satu langkah bagi meluaskan empayar ke persada dunia.
“Jika empat tahun lalu jenama Rizman Ruzaini tidak begitu kukuh kerana kami terima tempahan di butik dan hanya sediakan satu koleksi busana untuk KL Fesyen Week. Namun kini kami perlu keluarkan empat koleksi untuk fall, winter, summer dan spring. Malah kami banyak mendapat jemputan fesyen show di Paris, Dubai, Kuwait dan kini selebriti Hollywood bakal gayakan sentuhan kami.
“Dan disebabkan kapasiti, kami masih tidak mampu memenuhi semua peluang yang datang. Oleh sebab itu, kami terpaksa hentikan RR by Rizman Ruzaini untuk sempurnakan matlamat yang lebih besar,” tambahnya lagi.

