Bubur lambuk salah satu juadah wajib setiap menjelangnya Ramadan. Ada pelbagai versi bubur lambuk, ada yang berempah dan ada yang simple aje ramuannya tetapi rasanya ummmppphhh…! Resipi yang dikongsikan oleh Chef Shahrul Kamel Abu Hussin dari Palm Garden Hotel ini mudah dan semestinya sedap. Bubur lambuk yang sedap, kombinasi rempahnya seiring rasa, tumisannya garing dan ramuannya segar. Bila rasa itu bersatu, bubur lambuk itu pasti ada keenakannya yang tersendiri. Jom kita cuba..!

BUBUR LAMBUK
BAHAN
500 gm ayam cincang
4 biji bawang besar – kisar
3 ulas bawang putih – kisar
5 cm halia – kisar
½ batang lobak merah – potong kiub kecil
2 sudu besar rempah sup
2 biji kentang – potong kiub kecil
200 ml santan
1 helai daun bay
3 helai daun pandan – simpul
2 batang serai – ketuk
2 sudu besar bawang goreng
2 tangkai daun sup
50 gm udang kering
50 gm kacang goreng
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu stok pati ayam
250 ml minyak lebihan goreng bawang
700 liter air
Rempah 4 sekawan
Sedikit garam
CARA PENYEDIAAN
- Panaskan minyak lebihan goreng bawang, masukkan bawang besar, bawang putih dan halia yang telah dikisar. Tumis sehingga naik bau.
- Kemudian masukkan serbuk lada hitam, daun sup, bawang goreng dan rempah empat sekawan serta daun bay. Tumis lagi sehingga sebati.
- Masukkan ayam cincang, kacau rata. Masukkan serbuk sup dan beras, gaulkan rata. Barulah masukkan air.
- Masukkan lobak merah, kentang serai dan daun pandan. Biarkan ia mendidih.
- Masukkan santan, kacau perlahan-lahan. Taburkan garam dan stok pati ayam. Kacau rata. Tutupkan dengan penutup periuk, biarkan ia sehingga masak selama 30 minit. Setelah masak, bolehlah dihidangkan.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

