ISTERI pelawak dan usahawan Shuib iaitu Watie Hanafiah berkongsi pernah wujud rasa kebimbangan selepas bermimpikan Allahyarham Siti Sarah baru-baru ini.
Watie atau nama penuhnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah,36, sedar walaupun mimpi sering dianggap sebagai mainan tidur tetapi perasaan cemburu cukup tebal saat arwah muncul dalam mimpinya dan memberi bayangan mahu mengambil anak-anak dan suami.
“Baru-baru ini saya ada mimpikan arwah. Dalam mimpi itu hanya ada saya, arwah dan abah (Raisuddin Hamzah).
“Arwah hanya berdiam diri dan lihat saya. Dalam mimpi itu, wujud satu perasaan risau, adakah dia kembali untuk ambil semula haknya iaitu Shuib dan anak-anak.
“Masa itu memang dalam hati rasa begitu tetapi saya sorok perasaan itu sebelum tegur dan tanya pada arwah, ‘tak mahu jumpa anak-anak ke? Mereka rindu’. Arwah tak balas tetapi hanya memandang sahaja.
“Saya rasa mimipi tersebut muncul selepas anak perempuan arwah, Talita pun pernah mimpikan arwah sebelum ini,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Indigital Music x FYP Media di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, baru-baru ini.
Jelas Watie, dia tidak pernah cemburukan arwah namun pengalaman mimpi itu telah membolak-balikkan perasaannya.
Bagaimanapun, Watie meluahkan rasa syukur kerana ia hanya sekadar mimpi.
“Itu pertama kali saya terfikir bahawa dalam mimpi pula ada perasaan risau itu.
“Dalam hati terdetik risau dia kembali nak ambil semua semula tetapi itu hanya mimpi.
“Secara realiti tak cemburu tapi dalam mimpi pula cemburu,” kongsinya.
Sementara itu, Watie mendedahkan dia mengambil masa beberapa hari untuk berkongsi tentang mimpi tersebut dengan Shuib.
“Selepas saya cerita pada Shuib dan tanya dia kalau disuruh buat pilihan, dia pilih siapa? Dia hanya diam dan kata mengarut sahaja.
“Kemudian kami berborak banyak benda mengarut, bergelak ketawa tapi jangan risau semuanya okey sahaja,” ujarnya.
Untuk info, Shuib mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 2011, namun arwah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Talita Zahra, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.
Kemudian, Shuib berkahwin dengan Watie pada pada Jun 2023.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

