Sewaktu tiba pada pukul 2.00 pagi, tubuh warga emas berbangsa Melayu itu saya lihat terlentang di ruang letak kereta di hadapan rumah teres. Orang ramai berkerumun.
Apabila saya belek keadaan mangsa, saya dapati leher lelaki berusia 70-an itu hampir terputus. Sah! Punca warga emas itu mati akibat disembelih! Lehernya dikelar-kelar dengan senjata tajam.
Hanya tinggal sedikit sahaja baki kulit yang masih bercantum dengan bahagian kepala. Bahagian belakang dan tangan warga emas itu juga terdapat banyak kesan luka yang dalam. Darah melimpahi lantai ruang letak kereta itu.
Saya terus memeriksa keadaan mayat. Berdasarkan luka kelaran itu, saya yakin, penyerang telah terlebih dahulu menetak kepala mangsa dan kemudian melibas bahagian-bahagian lain anggotanya, sebelum menyembelih si mati.
Saya bertinggung berhampiran mayat warga emas tersebut. Terdapat kesan tetakan sepanjang lima sentimeter di tengah kepalanya. Beberapa kesan tetakan juga kelihatan di bahagian belakang kepala mangsa sedalam dua sentimeter.
Dapat saya bayangkan, pasti warga emas ini menggelupur apabila penyerang yang tidak berperikemanusiaan itu menetak bertubi-tubi sehinggalah lehernya hampir terputus. Setelah warga emas itu mati, barulah penyerangnya melarikan diri.

Kami memulakan tugas dengan mengumpul bukti dari keadaan sekitar kawasan pembunuhan itu, dan dalam masa yang sama mengumpul maklumat daripada saksi-saksi yang melihat kejadian itu berlaku.
Hasil siasatan kami mendapati, mangsa diserang oleh lima orang yang tidak berpuas hati apabila warga emas ini menegur perbuatan mereka meminum arak dan membuat bising tidak jauh dari rumahnya di taman perumahan berkenaan, di Segambut, Kuala Lumpur.
Kumpulan lelaki itu yang marah dengan teguran warga emas itu datang semula ke rumah mangsa dan menyerangnya dengan senjata tajam. Warga emas itu tidak terdaya melawan kerana penyerangnya ramai.
Dinihari berkenaan tiada penghuni yang membantu mangsa. Malah keluarga mangsa sendiri tidak menyedari mangsa ditetak dan disembelih. Jiran-jiran hanya menyedari kejadian itu apabila terdengar bunyi bising seperti pergaduhan. Malangnya apabila mereka tiba, warga emas itu sudah tidak bernyawa lagi. Motif pembunuhan adalah membalas dendam.
Tugas saya dinihari itu ialah mengambil sampel darah, kesan-kesan cap jari dan bukti yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan ngeri tersebut. Saya tidak temui senjata tajam di lokasi pembunuhan. Mungkin senjata tajam itu telah dibuang oleh penjenayah berkenaan.
Sepanjang saya bertugas di Seksyen Tempat Kejadian, Makmal Forensik, inilah antara perbuatan jenayah paling kejam pernah ditemui. Saya berpuas hati kerana akhirnya pihak polis berjaya menangkap penjenayah terbabit yang bersembunyi di kawasan perumahan berkenaan. Penjenayah itu akhirnya didakwa di bawah Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan niat membunuh.
Disamun dan dibunuh
Kejadian pembunuhan ngeri melibatkan warga emas ini bukan pertama kali saya saksikan. Sepanjang lebih 30 tahun bertugas di bahagian forensik, saya pernah melihat bagaimana kejamnya penjenayah bertindak ganas terhadap warga emas yang tidak berdosa.
Pernah saya melihat seorang warga emas Melayu yang dibunuh dengan kejam. Macam tidak percaya apabila saya tiba di sebuah rumah yang terletak di Ampang itu. Warga emas lelaki dalam lingkungan usia 70-an itu diikat pada sebatang tiang rumahnya.
Semasa sampai, saya lihat kepala mayat lelaki yang terikat di tiang di bawah rumah miliknya itu masih diserkup plastik. Saya dan anggota forensik lain terus membuka plastik berkenaan.
Muka warga emas itu tertunduk, mulutnya terbuka dan matanya celik sedikit. Selain lemas diserkup dengan plastik, paling saya marah, kaki dan tangan warga emas itu turut diikat. Apa sebabnya penjenayah itu bertindak sedemikian, tidak diketahui.
Cara ‘seksaan’ yang dilakukan ke atas warga emas itu seolah-olah seorang pesalah yang dikenakan hukuman mati secara kuno, tidak dapat diterima akal.
Hasil pemeriksaan terhadap mayat, saya dapati mangsa mungkin dibunuh sekitar awal pagi antara pukul 2.00 hingga 3.00 pagi. Laporan siasatan dan temubual dengan beberapa orang saksi pula mendapati, penjenayah tersebut datang ke rumah warga emas tersebut kira-kira pukul 2.00 pagi untuk menyamun.
Warga emas yang dibunuh ini baru sahaja menjual tanah bernilai ratusan ribu. Selepas menyamun wang sebanyak RM40,000, penjenayah itu masih tidak berpuas hati. Dia memaksa lelaki tua itu mengikutnya ke bawah rumah.
Di situ, penjenayah mengikat kaki dan tangan mangsa di tiang rumah sebelum diserkup dengan plastik. Pemeriksaan pada mayat turut mendapati, pergelangan tangan dan kaki mangsa dijerut dengan wayar halus.

Sampai sekarang saya masih teringat dua kes paling menyedihkan ini sepanjang kerjaya saya sebagai Ketua Seksyen Tempat Kejadian, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia.
Selalunya, dalam kejadian samun begini, suspek-suspek yang ditahan ialah penagih dadah tegar. Banyak kes samun dan pecah masuk rumah ini dilakukan oleh golongan penagih terbabit.
Saya berkata begitu sebab ada satu kes berlaku melibatkan seorang warga emas wanita yang dibunuh oleh penagih dadah. Wanita tua yang berniaga kedai makan di Puchong itu mati akibat dihentak sehingga tempurung kepalanya pecah dan otaknya tersembur keluar.
Saya berasa sedih apabila memeriksa mayat-mayat warga emas yang dibunuh secara kejam begini. Saya macam tidak percaya ada manusia yang lebih ganas daripada haiwan sanggup memukul wanita tua yang tidak berdaya sehingga terburai otak.
Sehingga hari ini, setelah bersara dalam dunia forensik, saya masih belum mendapat jawapan yang pasti kepada satu persoalan mengapakah manusia pada zaman moden hari ini, semakin lama, semakin kejam? Atau, kita sebenarnya semakin gila?
NOTA : Saya dalam cerita di atas ialah Amidon Anan yang merupakan bekas Superintenden Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bekas Ketua Seksyen Tempat Kejadian, Makmal Forensik PDRM, Bukit Aman. Kami pernah menemuramah Amidon dahulu dan kisah pengalamannya ini pernah disiarkan dalam Mastika.
________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

