SELEPAS seminggu dijumpai di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Damansara, bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 masih belum dituntut sesiapa.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan seperti dilapor Sinar Harian Online, hari ini.
Hussein memberitahu, pemilik bagasi tersebut masih belum tampil bagi menuntut beg itu.
“Bagasi itu masih belum dituntut dan kita (polis) masih menunggu pemiliknya hadir,” katanya.
Sebelum ini, Hussein memaklumkan, pihaknya masih belum mengambil keterangan sebuah syarikat teknologi maklumat yang mendakwa bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 itu milik mereka.
Beliau menjelaskan, pihaknya menerima laporan daripada pengarah syarikat terbabit yang mendakwa wang tersebut adalah milik syarikatnya dan merupakan duit perniagaan.
Baca artikel lain: Syarikat dakwa pemilik bagasi berisi RM500,000 belum beri keterangan
Pengarah syarikat teknologi maklumat berusia lingkungan 40 tahun itu telah pun membuat laporan pada 11.30 pagi, 21 Mac lalu.
Namun begitu, pengadu masih gagal hadir memberi keterangan dengan pelbagai alasan seperti menghadiri mesyuarat dan sakit.
Minggu lalu, media melaporkan seorang pengawal keselamatan berusia 30-an menemukan sebuah bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana berisi wang kertas not RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000 pada 8 pagi Rabu lepas.
Hussein dilaporkan berkata pihak polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah itu, namun tidak meliputi lokasi bagasi ditemukan.
Beliau berkata sekiranya tiada individu atau pihak yang menuntut wang tersebut pihaknya akan menyerahkannya kepada mahkamah untuk tindakan selanjutnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

