JENAZAH Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee Mohamed Isa Arbee selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam pada 11 pagi ini.
Hampir 200 ahli keluarga dan sahabat seperjuangan dalam kewartawanan hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Tujuh anak Allahyarham termasuk Rejaie Arbee, 42, Radhiq Arbee, 37, dan Awaina Arbee, 32, membantu menyempurnakan pengebumian Allahyarham.
Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Seksyen 7, Shah Alam untuk disolatkan dengan disertai kira-kira 200 jemaah terdiri daripada ahli keluarga dan rakan media.
Sementara itu, Rejaie Arbee berkata ayahnya meninggal dunia pada 2.10 pagi di Hospital Shah Alam kerana sakit tua.
Beliau berkata Allahyarham telah dimasukkan ke hospital itu Jumaat lepas kerana terdapat jangkitan kuman di paru-paru.
Antara yang hadir ialah Tokoh Wartawan Negara 2019 Tan Sri Johan Jaaffar; Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian TV Media Prima Berhad Kamarudin Mape dan bekas Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Baca artikel lain: Tokoh Wartawan, Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia
Sementara itu, pengurusan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj; Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus; Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz dan Ketua TV, Bahagian Penyiaran TV dan Radio Nor Hamzeela Md Hambali turut menziarahi keluarga Ahmad Rejal di kediaman Allahyarham di Shah Alam.
Ahmad Rejal, 83, merupakan bekas Ketua Pengarang Bernama dan bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian.
Allahyarham mula berkhidmat dengan Bernama sejak 1969 sebagai pemberita kanan sebelum ke Jakarta, Indonesia sekali gus menjadi pewarta luar negeri pertama agensi berita itu pada 1973.
Ahmad Rejal adalah antara pengamal media terawal yang meneroka konsep media dwibahasa dan antara kakitangan pengasas Bernama.
Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarang The Sun dari 1996 hingga 1997 sebelum menyertai Berita Harian sebagai Editor Kumpulan pada Julai 1998 hingga Julai 2003.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

