Isu babi: Allah perintahkan taat pada ulil amri, kata bekas mufti

Dari Penulis

TULISAN Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam sehari dua ini, isu berkaitan penternakan khinzir di Selangor kembali hangat diperkatakan susulan pelbagai kenyataan yang telah dikeluarkan oleh beberapa pihak. Sejujurnya, kami menekuni dengan penuh hormat titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung perkara ini. Pada kali ini, kami mengemukakan pandangan dalam bentuk Mauqif dengan tajuk: Isu Penternakan Khinzir di Selangor Berdasarkan Titah Sultan Selangor: Inilah Mauqif Kami.

Kami mengharapkan agar isu ini dapat diselesaikan dengan penuh hikmah, berteraskan semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat, di samping menjunjung tinggi titah yang murni demi kebaikan rakyat dan negeri. Kami menadah tangan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami berada pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”

Titah Sultan Selangor dan Asas Pertimbangan Baginda

Sultan Selangor kekal dengan pendirian sebagaimana yang telah ditegaskan menerusi kenyataan media bertarikh 10 Februari 2026 bahawa Baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor Darul Ehsan.

Pendirian ini dibuat setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran terhadap tanah, udara dan sumber air sungai melalui pelepasan najis serta sisa kumbahan. Kebimbangan Baginda turut tertumpu kepada kemungkinan kawasan tadahan air dan sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya terjejas akibat aktiviti tersebut.

Selain itu, kaedah penternakan moden yang benar-benar mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi dan dilihat tidak praktikal sekiranya hanya bertujuan memenuhi bekalan daging babi di Selangor sahaja. Oleh sebab itu, cadangan agar bekalan daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang memakannya merupakan suatu pendekatan yang lebih seimbang. Malah, turut dinyatakan bahawa negara seperti Singapura juga tidak menternak babi dan mendapatkan bekalan melalui import dari luar.

Baginda juga berpandangan bahawa penternakan babi sama ada berskala besar mahupun kecil tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi. Tanah yang ada sewajarnya dimanfaatkan untuk pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

Atas pertimbangan tersebut, Baginda menegaskan agar isu ini dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat di Selangor terus terpelihara.

Reaksi Pemimpin, Tokoh Politik, Badan NGO dan Pihak Terlibat

Rentetan daripada kenyataan Sultan Selangor berhubung isu penternakan khinzir di Negeri Selangor, pelbagai reaksi telah dizahirkan oleh pemimpin, tokoh politik, badan bukan kerajaan dan pihak-pihak berkaitan. Secara umumnya, sebahagian besar reaksi yang dikemukakan menekankan keperluan menghormati titah Sultan Selangor, menghentikan polemik yang berpanjangan, serta melihat isu ini daripada sudut kepentingan awam, alam sekitar, kesihatan, keharmonian masyarakat dan kedudukan institusi Raja Berperlembagaan.

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) melalui Pengerusinya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, menyeru semua pihak agar menghormati dan mematuhi titah Sultan Selangor demi menjaga kepentingan rakyat serta kestabilan negeri. Beliau berpandangan, pendirian Baginda mencerminkan kebijaksanaan dan keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar, keselamatan sumber air serta keharmonian masyarakat. Menurut beliau, risiko pencemaran tanah, udara dan sumber air bukan sahaja memberi implikasi kepada alam sekitar, bahkan berpotensi menjejaskan hak jutaan rakyat yang bergantung kepada bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Beliau turut menegaskan bahawa titah Sultan Selangor tidak wajar disalah tafsir sebagai campur tangan yang bercanggah dengan prinsip Raja Berperlembagaan, sebaliknya perlu difahami dalam kerangka tanggungjawab Baginda sebagai Ketua Negeri yang memastikan kepentingan rakyat dan negeri terus terpelihara.

Pandangan hampir senada turut dikemukakan oleh Pengarah Penyelidikan Dasar dan Undang-undang di Insight Development Centre (INDEC), Muna Rime. Beliau menyifatkan titah Sultan Selangor sebagai selari dengan sistem Raja Berperlembagaan dan bukan suatu campur tangan pentadbiran. Menurut beliau, dalam keadaan tertentu, Perlembagaan masih memberi ruang kepada Sultan untuk menzahirkan pandangan demi kepentingan rakyat dan negeri. Beliau turut menegaskan bahawa isu ini tidak seharusnya dilihat sebagai persoalan kaum atau agama semata-mata, sebaliknya berkait dengan kepadatan penduduk, keterbatasan tanah serta risiko pencemaran sekiranya industri penternakan berkenaan berkembang menjadi penternakan berskala besar berorientasikan eksport.

Dari sudut reaksi parti politik, PAS melalui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya segera mengambil tindakan yang lebih tegas, menyeluruh dan berkesan berhubung isu penternakan khinzir. Beliau menegaskan bahawa menghormati institusi Raja bukan sekadar retorik, tetapi menuntut tindakan yang jelas dan berkesan. Menurut beliau, teguran berulang Sultan Selangor menunjukkan bahawa isu ini mendapat perhatian serius Baginda kerana ia berkait rapat dengan pencemaran alam sekitar, pengurusan sisa, sensitiviti masyarakat setempat serta kesejahteraan rakyat.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor melalui Ketua Badan Pimpinannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bersama Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri, turut menegaskan bahawa isu penternakan khinzir di Selangor tidak wajar dipolemikkan sebagai isu perkauman atau agama yang sempit. Menurut kenyataan tersebut, penamatan aktiviti penternakan khinzir tidak bererti menafikan hak masyarakat bukan Islam mendapatkan bekalan daging khinzir, apatah lagi Sultan Selangor sendiri telah mencadangkan agar bekalan tersebut diimport bagi memenuhi keperluan mereka. Pendirian yang dizahirkan itu turut menekankan bahawa titah Baginda berasaskan pertimbangan pencemaran alam sekitar, risiko terhadap sungai dan kawasan tadahan air, serta kepentingan kesejahteraan rakyat. Dalam masa yang sama, Bersatu dan PAS Selangor menyatakan komitmen untuk terus menjunjung titah Sultan Selangor, mempertahankan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta memelihara prinsip Raja Berperlembagaan.

UMNO Selangor pula melalui beberapa kenyataan menzahirkan sokongan terhadap titah Sultan Selangor dan menyeru agar isu tersebut tidak terus dipolemikkan. Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain menyatakan bahawa kenyataan Istana Selangor telah memperincikan faktor penting seperti pencemaran alam sekitar, risiko terhadap sumber air, kesan kepada kawasan tadahan air, nilai hartanah, penggunaan tanah yang terhad serta keharmonian rakyat. Beliau turut menyifatkan cadangan mengimport bekalan daging khinzir dari negeri lain sebagai pendekatan yang seimbang dan rasional. Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin pula menegaskan bahawa setiap titah, nasihat, teguran dan peringatan Sultan Selangor adalah selari dengan semangat Raja Berperlembagaan serta peranan Baginda sebagai Ketua Negeri yang mengutamakan kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, terdapat juga polemik yang timbul susulan kenyataan beberapa pihak yang mencadangkan agar isu penternakan khinzir moden dan tertutup diterokai semula. Bekas wakil rakyat dan bekas exco kerajaan negeri, Ronnie Liu Tian Khiew dilaporkan mencadangkan agar penternak khinzir mempertimbangkan tindakan undang-undang melalui semakan kehakiman. Kenyataan tersebut mendapat reaksi daripada ADUN Selangor, Danial Al-Rashid Haron, yang meminta beliau menghentikan polemik serta menghormati institusi Raja Berperlembagaan dan keputusan kerajaan negeri. Beliau menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar politik atau sentimen peribadi, sebaliknya melibatkan tanggungjawab kerajaan dalam menjaga kepentingan awam, keharmonian, alam sekitar dan dasar pembangunan negeri secara menyeluruh.

Selain itu, kenyataan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki yang mencadangkan pertimbangan terhadap sistem penternakan khinzir moden dan tertutup turut mengundang reaksi pelbagai pihak. Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) melalui Pemangku Presidennya, Borhan Ahmad Zakaria, menegaskan bahawa titah Sultan Selangor sudah cukup jelas dan tidak perlu diungkit lagi. Perkasa menyeru agar bekalan daging khinzir dibawa dari luar sebagaimana yang dititahkan, tanpa syarat dan tanpa perdebatan lanjut. Dalam masa yang sama, Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan PAS Selangor, Nurul Islam Mohamed Yusoff turut mempersoalkan pendirian kerajaan negeri susulan kenyataan ADUN berkenaan yang dilihat tidak sehaluan dengan titah Sultan Selangor.

Dari sudut badan pemikir dan pertubuhan masyarakat, Pengerusi Teras Sosial Musyawarah Nasional, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, menegaskan bahawa polemik berhubung cadangan menghidupkan semula penternakan khinzir di Selangor perlu dihentikan segera kerana berpotensi menggugat keharmonian masyarakat dan mencabar institusi diraja. Beliau berpandangan, isu tersebut tidak lagi wajar diperdebatkan kerana pendirian Sultan Selangor dan kerajaan negeri telah dinyatakan dengan jelas. Beliau turut menekankan bahawa penternakan khinzir berskala besar mempunyai implikasi langsung terhadap alam sekitar, termasuk pencemaran bau, pencemaran sumber air dan tekanan kepada kawasan penempatan padat.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) melalui Presidennya, Meenakshi Raman, turut berpandangan bahawa cadangan penternakan khinzir di Selangor tidak wajar dibangkitkan semula selepas Sultan Selangor menitahkan agar tiada lagi aktiviti berkenaan di negeri ini. Menurut beliau, isu ini tidak harus dilihat dari sudut agama atau kaum semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan risiko pencemaran dan kesihatan. Beliau juga menegaskan bahawa walaupun teknologi moden digunakan, aktiviti penternakan berskala besar tetap mengundang risiko pencemaran, khususnya dalam konteks negeri Selangor yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Secara keseluruhannya, reaksi yang dikemukakan menunjukkan bahawa isu penternakan khinzir di Selangor telah berkembang melangkaui persoalan bekalan makanan semata-mata. Ia menyentuh soal alam sekitar, kesihatan awam, penggunaan tanah, keharmonian masyarakat, keabsahan dasar kerajaan negeri serta kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Negeri dalam kerangka Raja Berperlembagaan. Justeru, seruan utama yang dapat dirumuskan daripada reaksi pelbagai pihak ialah agar semua pihak menghormati titah Sultan Selangor, menghentikan polemik yang tidak membawa manfaat, serta memberi keutamaan kepada kestabilan negeri, kesejahteraan rakyat dan keharmonian masyarakat secara menyeluruh.

Inilah Mauqif Kami

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil Amri” (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Al-Sa’di berkata bahawa Allah SWT memerintahkan hamba-Nya agar mentaati-Nya dan mentaati Rasul-Nya, iaitu dengan melaksanakan segala perintah kedua-duanya, sama ada yang wajib mahupun yang sunat, serta menjauhi segala larangan kedua-duanya. Allah juga memerintahkan supaya mentaati ulil amri, iaitu para pemimpin yang mengurus urusan manusia, terdiri daripada pemerintah, hakim dan mufti.

Sesungguhnya urusan agama dan dunia manusia tidak akan teratur melainkan dengan mentaati dan tunduk kepada mereka, sebagai bentuk ketaatan kepada Allah serta mengharapkan ganjaran di sisi-Nya. Namun, ketaatan tersebut tertakluk kepada syarat bahawa mereka tidak memerintahkan perkara maksiat kepada Allah. Jika mereka memerintahkan perkara demikian, maka tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara yang merupakan maksiat kepada al-Khaliq. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 183)

Titah seumpama ini, apabila diteliti dengan mengambil kira hikmah Tuanku Sultan, memperlihatkan suatu pendirian yang mendahulukan kepentingan agama, rakyat dan negeri. Ia menjadi benteng utama dalam memastikan setiap tindakan yang diambil berasaskan maslahah serta kebaikan umum.

Sebuah kaedah menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah terhadap rakyat hendaklah berasaskan maslahah.”

Para ulama menetapkan bahawa segala tindakan yang ditetapkan oleh pihak pemerintah wajib didasari maslahah dan kebaikan untuk masyarakat umum secara keseluruhannya, iaitu rakyat yang berada di bawah tadbir urusnya. Sekiranya tindakan tersebut bertentangan dengan tujuan dan objektif asal, maka tindakan tersebut dianggap tidak sah dan tidak terpakai dari sudut syarak. (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah2/308)

Kami katakan bahawa Tuanku telah melaksanakan tugas sebagai ketua negeri dan pengawal agama. Hal ini bertepatan dengan kata-kata Imam al-Ghazali:

الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ، وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

Maksudnya: “Agama (Islam) itu merupakan asas, manakala kuasa pemerintahan yang berdaulat menjadi pengawal. Apa-apa yang tiada asasnya, maka ia akan runtuh; dan apa-apa yang tiada pengawalnya, maka ia akan hilang.” (Lihat al-Iqtisad fi al-I‘tiqadhlm. 128)

Kami berpandangan bahawa kefahaman, hikmah dan kebijaksanaan Tuanku yang lebih mengetahui keadaan tanah watan dan negeri Baginda bertujuan memastikan kedamaian, kebaikan serta ketenteraman rakyat terus terpelihara daripada sebarang protes, kegusaran atau rasa tidak puas hati. Langkah seperti ini adalah wajar dan sewajarnya diberi sokongan serta dokongan oleh semua pihak.

Menjadi suatu kelaziman dan kemestian yang sepatutnya diiltizamkan oleh pihak pemerintah atau kerajaan negeri untuk melaksanakan titah Tuanku. Pada masa yang sama, hak yang sewajarnya diberikan kepada rakyat hendaklah diselesaikan dengan sebaik mungkin, secara adil, tertib dan berhikmah.

Dalam membuat sesuatu keputusan, khususnya dalam isu ini, terdapat dua perkara yang perlu dibezakan dengan jelas.

Pertama, hak kebebasan memakan khinzir bagi masyarakat bukan Islam adalah dibenarkan sekiranya ia merupakan makanan mereka dan dibenarkan menurut kepercayaan mereka. Adapun bagi orang Islam, hukumnya adalah haram berdasarkan nas Ilahi yang qat’i.

Kedua, hak untuk makan adalah berbeza daripada hak untuk menternak. Hal ini kerana penternakan memerlukan tanah yang luas, skala operasi yang besar serta sistem pengurusan air, kumbahan dan najis haiwan yang sesuai agar tidak berlaku pencemaran terhadap sungai atau hak awam yang lain, apatah lagi apabila ia berkaitan dengan sensitiviti umat Islam.

Prinsip seperti ini perlu diraikan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh seorang lelaki daripada golongan Muhajirin dalam kalangan sahabat Nabi SAW. Beliau berkata: “Aku pernah turut serta berperang bersama Nabi SAW sebanyak tiga kali. Aku mendengar Baginda bersabda:

الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِي ثَلاَثٍ فِي الْكَلإِ وَالْمَاءِ وَالنَّارِ 

Maksudnya: “Kaum Muslimin berkongsi hak dalam tiga perkara: padang ragut, air dan api.”

Riwayat Abu Dawud (3477). Dinilai sahih.

Ibn ‘Abd al-Barr Rahimahullah berkata bahawa pada hadith ini terdapat dalil bahawa manusia berkongsi pada padang ragut, dan ia sama maknanya dengan hadith lain: “Manusia berkongsi pada air, api dan padang ragut.” (Lihat al-Tamhid11/593)

Maka, tafsiran yang perlu difahami ialah sesuatu perkongsian yang dibenarkan hendaklah tidak sampai menyebabkan sebahagian masyarakat berasa kurang senang, tidak selesa atau terjejas hak awam mereka.

Kami sebelum ini pernah membincangkan isu khinzir dan sebab Islam mengharamkannya. Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡمَيۡتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحۡمَ ٱلۡخِنزِيرِ 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah dan daging babi.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut bahawa pengharaman babi meliputi semua bahagiannya, termasuk lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan sebutan dagingnya sahaja kerana ia merupakan bahagian yang paling banyak dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77)

Antara sebab pengharamannya, di samping sifatnya yang ta’abbudi dan tawaqqufi kepada nas Ilahi, terdapat beberapa hikmah serta dapatan dari sudut saintifik dan perubatan moden. Antaranya:

Pertama, babi memiliki kelenjar peluh yang sedikit berbanding saiz badannya. Perpeluhan merupakan proses fisiologi penting bagi mengekalkan suhu badan yang ideal. Proses penyejatan air peluh daripada permukaan kulit menyebabkan badan menjadi sejuk dan pada masa yang sama berperanan membuang toksin dalaman. Mereka yang tidak berpeluh terdedah kepada penyakit-penyakit berbahaya. Tambahan pula, fungsi utama kelenjar peluh adalah untuk membuang toksin.

Babi menggunakan lumpur sebagai alternatif kepada proses penyejukan badan melalui perpeluhan. Jika dilihat, babi sering berkubang atau berguling-guling di atas lumpur. Tingkah laku tersebut membantu menyejukkan badan mereka. Babi sebenarnya menyukai kawasan lumpur yang bersih. Namun, bagi sekumpulan haiwan tersebut yang diternak di ladang-ladang atau pusat penternakan, ia sering ditempatkan di ruang yang sangat sempit. Keadaan ini menyebabkan kawasan perkubangan mereka menjadi terhad dan kebiasaannya lumpur yang digunakan bercampur dengan najis serta muntah mereka sendiri.

Jika dibayangkan jumlah bahan buangan yang dihasilkan, 5,000 ekor babi boleh menghasilkan najis bersamaan dengan 50,000 orang yang tinggal di bandar. Kawasan buangan inilah yang kadangkala menjadi tempat mereka menyejukkan badan. Namun begitu, tidak semua babi hidup dalam keadaan sedemikian. Babi seperti Kurobuta, misalnya, diternak dalam persekitaran yang kurang tekanan dan diberi makanan berasaskan bahan organik. Ia dianggap sebagai “wagyu” dalam kalangan haiwan tersebut.

Kedua, terdapat risiko bakteria kebal antibiotik dalam daging babi. Disebabkan keadaan tempat tinggalnya yang diternak di kawasan pusat penternakan yang kebiasaannya kotor, babi mudah mendapat penyakit kulit dan jangkitan kulat. Kebarangkalian yang tinggi ini menggalakkan penternak menggunakan antibiotik bagi memastikan kesihatan haiwan ternakan tersebut berada pada tahap yang optimum.

Secara teorinya, penggunaan antibiotik secara meluas bukan sahaja boleh menggalakkan tumbesaran yang cepat, bahkan boleh melahirkan spesies bakteria kebal antibiotik yang mampu mengancam kesihatan manusia secara umum. Kajian yang dibuat oleh Julia Osterberg pada tahun 2016 mendapati bahawa babi yang diternak di pusat penternakan mempunyai spesies bakteria E. coli yang kebal terhadap antibiotik Ampicillin, Tetracycline, Trimethoprim, Sulphonamide atau Streptomycin. Bakteria tersebut boleh kebal terhadap satu atau lebih antibiotik.

Oleh sebab harga daging babi organik sangat mahal, majoriti masyarakat memakan daging babi yang diternak di pusat penternakan biasa. Keadaan ini boleh meningkatkan kebarangkalian mereka terdedah kepada bakteria kebal antibiotik tersebut.

Ketiga, terdapat risiko jangkitan parasit. Walaupun jangkitan parasit pada haiwan tersebut telah menurun secara mendadak sejak 20 tahun lalu, babi termasuk babi organik masih terdedah kepada jangkitan tersebut. Menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), walaupun pelbagai langkah boleh diambil untuk mengelakkan perkara ini berlaku, haiwan ternakan tersebut masih terdedah kepada jangkitan sekiranya mempunyai sentuhan secara langsung dengan rodensia yang lain.

Rawatan pencegahan terhadap jangkitan ini boleh mencecah 80% daripada keseluruhan perbelanjaan penternakan babi. Hal ini menyebabkan ramai penternak enggan melaburkan wang mereka untuk tujuan tersebut. Pengguna yang membeli daging babi yang mempunyai jangkitan pula terdedah kepada risiko penyakit trichinosis sekiranya daging tersebut tidak dimasak dengan betul. Gejala seperti jangkitan mata, bengkak mata, fobia cahaya, kelesuan dan sakit otot merupakan antara tanda awal penyakit ini. CDC menggalakkan pembekuan daging tersebut sebelum dimasak dengan teliti bagi memastikan parasit tersebut telah mati.

Dalam konteks inilah, apa yang dinyatakan oleh Saidina Uthman bin ‘Affan R.A amat wajar direnungi:

إِنَّ اللَّهَ لَيَزَعُ بِالسُّلْطَانِ مَا لَا يَزَعُ بِالْقُرْآنِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menahan kejahatan dan kerosakan dengan kekuasaan pemerintah, apa yang tidak dapat ditahan hanya dengan al-Quran.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 2/301)

Justeru, marilah sama-sama kita menjunjung titah D.Y.M.M. Tuanku Sultan dengan penuh keikhlasan, ketaatan dan kebijaksanaan. Semoga kita semua sentiasa diberi petunjuk oleh Allah SWT dalam melaksanakan sebarang bentuk tindakan, khususnya dalam hal yang berkait dengan kepentingan rakyat, keharmonian masyarakat dan maslahah negeri.

Kami yakin bahawa semua pihak berautoriti, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri, mempunyai hasrat yang sama ke arah kebaikan serta maslahah umat, masyarakat dan rakyat keseluruhannya. Semoga Allah SWT menautkan hati kita dengan kasih sayang, menyuburkan sikap saling hormat-menghormati, dan marilah kita menjunjung titah Tuanku Sultan dengan sebaik-baiknya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk mengurus urusan kami orang-orang yang terbaik dalam kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk mengurus urusan kami orang-orang yang terburuk dalam kalangan kami.”

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami berada pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”

اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami — disebabkan dosa-dosa kami — orang yang tidak takut kepada-Mu dalam mengurus kami dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.”


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan lanjut perjanjian cari MH370 setahun lagi, kekal konsep ‘no find, no fee’

JEMAAH Menteri bersetuju melanjutkan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat Ocean Infinity bagi meneruskan usaha pencarian bangkai pesawat Malaysia...

More Articles Like This