SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan agensi itu telah menjalankan siasatan berhubung beberapa dakwaan salah laku di dalam surat layang mengenai kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, berdasarkan kepada aduan awam, pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap agensi tersebut sejak dua hari lalu.
Beliau berkata, SPRM juga telah mengambil beberapa fail daripada FAM sebagai sebahagian daripada urusan siasatan.
“Kebanyakan isu yang disebut (dalam surat layang) tersebut berkaitan hal pentadbiran, maka SPRM tidak akan meneliti perkara tersebut.
“Sebaliknya, SPRM hanya akan membuat siasatan terhadap dakwaan isu jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azam berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan sebarang butiran lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.
Untuk itu tegas beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu tersebut.
Sebaliknya kata beliau, SPRM seharusnya diberi ruang untuk menjalankan siasatan lanjut.
Menurut beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan secara profesional dan bertindak adil kepada semua pihak yang terlibat.
Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan semua tuduhan salah laku ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Integriti FAM.
Jawatankuasa ini yang akan bertanggungjawab menyiasat isu yang ditimbulkan dalam surat layang tersebut termasuk dakwaan penyelewengan tender.
Jawatankuasa ini merupakan badan bebas dan turut dianggotai badan penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM.
“Kita telah pun berbincang dengan pengerusi (Jawatankuasa) Integriti, Tan Sri Aseh (Haji Che Mat). Kerana isu NGC (dan) tender itu semua, itu saya fikir benda besar dulu kerana itu membabitkan persepsi yang lebihnya.
“Jadi, kita di FAM ini selain Jawatankuasa Tender, kita juga ada Jawatankuasa Integriti yang melihat proses itu berlaku.
“Dan kita pun sudah berbincang dengan Pengerusi (Jawatankuasa) Integriti, kita serahkan kepada Integriti untuk melihat semula (proses). Sebenarnya (Jawatankuasa) Integriti sudah bersidang pun sebelum ini pasal tender apa semua.
“Tapi kita akan lihat semula dan dengar selepas Pengerusi (Jawatankuasa) Integriti dan ahli jawatankuasanya mengambil tindakan-tindakan yang perlu,” katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom semalam.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

