JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengadakan pertemuan dengan pihak bertanggungjawab dalam masa terdekat bagi menyelaras tindakan bersepadu menangani isu logo kasut keluaran Vern’s Holding Sdn Bhd yang didakwa mirip kalimah Allah.
Pertemuan tersebut membabitkan pihak Jabatan Agama Islam negeri dan pihak berkuasa seperti polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata, komitmen utama jabatan itu adalah menjaga kesucian agama Islam dan maslahat umat Islam.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang jelas terbukti membuat tindakan yang menghina agama Islam,” katanya.
Terdahulu tular satu video berdurasi tiga minit menerusi media sosial memaparkan seorang lelaki mendakwa kasut Vern’s yang dibelinya memaparkan logo seakan-akan kalimah Allah.
Mengulas mengenai pertemuan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn Bhd Ng Chuan Hoo hari ini, Mohd Na’im berkata, jabatannya menyerahkan proses selanjutnya kepada polis.
“Jakim telah diarah untuk memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam melengkapkan siasatan,” katanya.
“Sekiranya terdapat elemen yang bertentangan dengan undang-undang, maka proses selanjutnya akan diambil oleh pihak polis.”
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pihak agar sentiasa bertenang serta tidak mengambil sebarang langkah melulu yang menyalahi undang-undang negara.
Katanya, menjadi kewajipan semua pihak untuk menjaga akhlak dan tingkah laku, agar keharmonian dan perpaduan dalam negara sentiasa terpelihara
Semua pihak juga perlu mengambil pengajaran daripada situasi tersebut agar ia tidak berulang pada masa akan datang, tambahnya. – BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

