Syawal menjelma lagi, semoga lebaran lebih bermakna

Dari Penulis

“Kini tiba masanya
Hati gembira di hari raya
Bertemu sanak dan saudara
Bermaaf-maafan dengan keikhlasan”

(Lagu Suara Takbir ciptaan/nyanyian P. Ramlee, lirik S. Sudarmaji)

FAJAR Aidilfitri menjelma lagi. Dijangka lusa, Rabu 10 April, umat Islam di negara ini akan menyambut ketibaan hari lebaran. Tibalah detik kemenangan, detik gembira menyambut 1 Syawal setelah sebulan menahan lapar dahaga serta godaan hawa nafsu.

Sekali pun waktu ini dianggap ‘masa kecederaan’ menjelang Syawal, bukan bermakna kesibukan membuat persiapan hari raya menemui nokhtah, sebaliknya makin rancak. Di bazar Aidilfitri, terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur, warga kota masih berduyun-duyun datang untuk membeli pakaian baharu atau kuih muih.

Bazar Aidilfitri menjadi tumpuan kerana banyak pilihan, harga berpatutan. Untuk lelaki, perempuan atau kanak-kanak semua ada. Yang penting pandai memilih dan rajin membanding harga sebelum membeli.

Selain pakaian, ramai yang berkunjung ke bazar Aidilfitri pada waktu penghujung ialah untuk membeli kuih atau biskut. Selalu disebut ‘kuih tunjuk’. Tunjuk mana berkenan, beli dan bawa pulang. Pilihan memang banyak.

Sekarang tidak ramai membuat sendiri kuih kerana kekangan masa, terutama bagi yang bekerja. Daripada berusah payah membuat, lebih mudah beli ‘kuih tunjuk’. Ada pula yang memesan secara online.

Sebenarnya membuat kuih pengalaman yang menyeronokkan. Penulis ingat zaman kanak-kanak ketika masih bersekolah rendah menyambut hari raya di kampung halaman di Tebuk Mukmin, Bagan Datuk, Perak. Kuih raya dibuat sendiri oleh emak dengan bantuan kakak. Tiada istilah kuih tunjuk.

KUIH raya dahulu semuanya dibuat sendiri. – Gambar hiasan

Kuih tradisional seperti dodol, bahulu, kuih bakar, wajik dan kuih lapis adalah menu mesti. Semua dibuat secara ‘manual’. Misalnya untuk mendapatkan gula halus, gula kasar ditumbuk dalam lesung. Tiada blender. Penat juga menumbuk, maklum antan berat.

Tepung gandum yang memang halus pun ditumbuk agar lebih halus. Tepung penting untuk membuat bahulu dan kuih bakar. Untuk mendapat tepung pulut atau tepung beras, pulut dan beras ditumbuk. Tepung pulut bahan penting membuat dodol. Bahan yang ditumbuk diayak untuk memperoleh produk yang benar-benar halus.

Membuat dodol rumit dan memenatkan. Ia mengambil masa beberapa jam sehingga cukup masak. Mula memasak pagi, hampir maghrib baru selesai. Pada permulaan terasa ringan mengacau gula, gula merah dan santan, diserikan daun pandan. Apabila dimasukkan tepung pulut, lama kelamaan jadi liat. Semakin hampir masak semakin liat. Perlu sentiasa dikacau bagi mengelak berkerak atau hangit.

Dodol mesti masak secukupnya sebelum diangkat. Jika tidak, ia tidak tahan lama, mudah berkulat. Selain yang disedia untuk tetamu, emak bungkus dodol dengan upih, dalam bentuk bulat lebih kurang setengah kaki panjang dan diikat di kedua hujungnya. Ia tahan disimpan hingga hari raya tahun berikutnya.

Untuk membuat bahulu, telur dipecah dalam pasu. Jumlahnya menurut berapa banyak bahu hendak dibuat. Kemudian gula dimasukkan dan dipukul hingga sebati, seterusnya diceduk ke dalam besen kecil pada satu-satu masa. Kemudian tepung dicampur dan dikacau hingga sebati. Setelah sebati, dituang ke adalam acuan, sedia untuk dibakar. Ada acuan bentuk ikan, cermai dan lain-lain.

Bagi kuih bakar, tepung dicampur gula halus dan sedikit telur akan diuli sehingga menjadi ‘dough’. Dough dileperkan (emak gunakan botol). Acuan ditekan ke atasnya untuk membentuk kepingan kuih bakar pelbagai bentuk menurut acuan digunakan. Selepas itu sedia untuk dibakar.

Membakar kuih dibuat secara tradisonal, menggunakan ‘oven’ daripada tin biskut besar dibelah dua. Satu tin boleh menjadi dua oven. Bahagian bawah atau punggung tin adalah penampan. Zink diguna sebagai penutup bahagian atas. Ruang kosong belahan ialah laluan memasukkan acuan bahan yang hendak dibakar.

Bahan bakar sabut kelapa yang memang banyak di sekeliling rumah. Bara sabut diletak di atas dan bawah oven. Api perlu sederhana dan sentiasa dipantau agar kuih tidak hangus.

Selalunya penulis menjadi tukang rasa kuih yang siap dimasak untuk pastikan cukup manis atau cukup lembut dan gebu bagi bahulu. Maklum yang lain berpuasa.

Tradisi membuat kuih kian terhakis kerana kebanjiran kuih siap. Tidak perlu bersusah payah dan berpenat menyediakan bahan untuk membuatnya. Bagaimana pun kebanyakan kuih siap, terutama yang dihasilkan oleh kilang, memang tidak dapat menandingi keenakan kuih yang dibuat sendiri.

Seorang pengunjung mencuba serta memilih songkok bagi membuat persiapan akhir sempena perayaan Aidilfitri di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

Keghairahan orang ramai, terutama di ibu kota, ialah menunggu sehingga malam raya untuk membeli pakaian atau kuih di bazar Aidilfitri. Ini menjadikan malam terakhir begitu meriah. Pakaian, kuih dan segala jenis biskut dijual pada harga runtuh.

Penjual tidak terlalu berkira mengenai harga asalkan barang habis dijual. Untung sedikit pun tidak mengapa. Detik inilah yang ditunggu oleh pengunjung. Suasana sungguh gamat apabila para peniaga saling berteriak bersahut-sahutan, berlawan-lawan mempromosi jualan.

Senario ini berlainan berbanding dengan di kampung. Penduduk sibuk memasang lampu minyak tanah menerangi halaman rumah. Anak-anak bermain bunga api, mercun atau meriam. Para ibu pula sibuk memasak rendang, merebus ketupat untuk sajian di pagi hari raya. Di kampung masih ada ketupat tradisional janur kelapa, selain ketupat segera.

Namun dalam riang ria meraikan Aidilfitri, jangan boros berbelanja membeli pakaian atau kuih muih. Kita disaran berjimat pada bulan puasa, merasai kepayahan mereka yang tidak ada makanan. Teruskan amalan ini pada bulan Syawal, malah pada bila-bila masa. Berjimat ialah amalan mulia.

Sambutan setahun sekali bukan alasan untuk mewajarkan belanja berlebihan. Cukup sekadar keperluan. Jika pakaian tahun-tahun sebelumnya masih elok, apa salah dipakai semula untuk menjimatkan belanja. Begitu juga membeli kuih. Jangan sampai selepas hari raya poket kosong!

Balik kampung ialah amalan tradisi mereka di perantauan, meraikan saat indah hari lebaran bersama keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan. Waktu ini tentu sudah ramai bergerak balik kampung, malah ramai sudah sampai. Balik awal boleh elak tersangkut dalam kesesakan lalu lintas apabila semua bertumpu balik pada waktu sama.

Pertambahan kenderaan yang menyebabkan kesesakan serta pergerakan perlahan ialah pemandangan biasa pada musim perayaan. Lebuh raya atau jalan persekutuan dipenuhi kenderaan sehingga boleh mencabar kesabaran. Bertabahlah mengharunginya.

Berhati-hati di jalan raya. Pandu cermat insyaAllah jiwa selamat. Ingat orang tersayang menunggu untuk sama-sama bergembira. Berdoalah agar selamat sampai ke destinasi bertemu mereka. Semoga Adilfitri kali ini lebih bermakna. “Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin.”

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor buka tirai Sabtu ini, keputusan bakal status quo?

GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bakal dipalu secara rasmi Sabtu ini apabila tirai proses penamaan calon dibuka...

More Articles Like This